Pemimpin Umno usah pertahan kenyataan hina ulama
 

KOTA BHARU, 12 Feb  - Pelbagai pihak di negeri ini terus membidas usaha beberapa kerat pemimpin Umno mempertahankan kenyataan Presiden parti itu yang didakwa menghina ulama pada suatu ucapan di New York, baru-baru ini.

Mereka berkata, kenyataan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di New York adalah jelas mempersendakan peranan ulama.

Setiausaha PAS Jeli, Mohamad Abdullah berkata, kenyataan Presiden Umno itu boleh dilihat berdasarkan petikan sebuah akhbar, baru-baru ini yang jelas memperlekehkan ulama. Katanya, tidak ada sebab pemimpin utama PAS yang memperkatakan isu berkenaan perlu meminta maaf kepada Dr Mahathir kerana kencaman yang dilemparkan terhadap ulama adalah jelas. "Ucapan seperti itu kalau tidak dikatakan sebagai menghina ulama, hendak sebut apa lagi," katanya di sini.

Baru-baru ini, Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dilaporkan berkata, ucapan Presiden Umno ketika menghadiri forum WEF di New York cukup memual dan memalukan diri sendiri serta umat Islam di seluruh dunia apabila diucap di khalayak majoriti pemimpin bukan Islam.

Ketika berucap di forum berkenaan, Dr Mahathir dilaporkan berkata, masalah besar yang dihadapi kerajaan Islam kerana penyelewengan agama oleh ulama politik dan kemunculan kumpulan penentang pembangunan.

Ucapannya yang bertajuk, 'Peranan Islam Dalam Negara Moden' menyebut ulama politik telah menyelewengkan agama bagi memperolehi kuasa, manakala kumpulan penentang pembangunan pula cenderung mengisytiharkan jihad scara kekerasan terhadap kerajaan Islam.

Bagaimanapun kenyataan Dr Mahathir itu cuba dipertahankan timbalannya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan menuduh PAS pula cuba menimbulkan perbalahan antara ulama dan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam perkembangan berkaitan juga, Pergerakan Pemuda Umno Lumut dan Pasir Salak pula cuba mengambil kesempatan dengan membuat laporan polis terhadap kenyataan Presiden PAS berhubung isu berkenaan.

Ketua Pemuda Umno Lumut, Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, kenyataan berunsur fitnah Dato' Haji Fadzil didakwa boleh menimbulkan suasana hiru hara dalam negara.

Mohamad yang juga Pegawai Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri berkata, pemimpin Umno lain tidak perlu mudah melenting bagi mempertahankan pemimpin utama mereka kerana ucapan seperti itu jelas dituju kepada ulama di negara ini.

Seorang pendidik, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, Presiden Umno itu tidak sepatutnya berucap mempersendakan peranan ulama di depan pemimpin negara bukan Islam.

Katanya, perbuatan itu sebenarnya merugikan diri sendiri dan umat Islam di seluruh dunia, yang sering mangsa kerangkusan kuasa barat.

"Pemimpin negara ini sendiri membuka ruang selebarnya untuk musuh Islam menghentam kita, kerana melontar idea yang sempit mengenai Islam.

"Ucapan itu dibuat Perdana Menteri di depan pemimpin bukan Islam kemungkinan disebabkan dia melihat peranan ulama begitu besar sehingga boleh mengugatkan kerajaan BN.

"Oleh itu, usaha untuk menarik simpati pemimpin negara bukan Islam terhadap Umno dan kerajaan BN dilakukan di forum antarabangsa," tambahnya.

Beliau juga berkata, pemuda Umno sepatutnya berfikiran lebih rasional kerana ucapan menghina ulama seperti itu bukan sekali dua dibuat Presiden Umno.

Katanya, sejak dahulu lagi kita dapat melihat ucapan dan kenyataan Dr Mahathir begitu rimas terhadap peranan dan kewibawaan ulama.

"Biarpun kecaman dan hentaman dibuat sudah lama, kita tidak pernah nampak negara ini menjadi huru hara sebagaimana didakwa pemuda Umno," katanya.