MPKB berusaha tingkatkan tahap kebersihan    

KOTA BHARU, 12 Julai (Hrkh) - Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sedang mempertingkatkan tahap kebersihan tempat-tempat tumpuan ramai di bandar ini sebagai persiapan menjelang sambutan Jubli Emas PAS yang akan diadakan di sini akhir Ogos depan.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Azman Mohd Daham berkata, bagi meraikan tetamu yang bakal mengunjungi Kelantan, aspek kebersihan perlu dipertingkatkan lagi. Selain Pasar Besar Siti Khadijah, turut diberi tumpuan utama ialah Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian, ujarnya.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, penguat kuasa MPKB memantau persekitaran pasar berkenaan bagi memastikan ia sentiasa bersih dan teratur. Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai mempertingkatkan tahap kebersihan dari semasa ke semasa biarpun selepas sambutan Jubli Emas PAS.

Beliau turut melahirkan ucapan terima kasih kepada peniaga yang memberi kerjasama menjaga kebersihan serta mematuhi syarat ditetapkan. MPKB berharap pemilik premis di jalan-jalan utama menjaga kebersihan termasuk longkang perlu bebas daripada sampah sarap, ujarnya.

Menurutnya juga, tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis yang degil termasuk dikenakan kompaun atau barang jualan dirampas.

Selain itu, beliau berkata, peraturan menutup aurat bagi peniaga wanita Islam perlu diperkemaskan bagi memastikan semua pekerja wanita Islam di setiap premis mematuhi garis ditetapkan.