Mazlan Jusoh 
ISA: Mahasiswa Islam Thailand bantah  
 

PATTANI (Selatan Thailand), 12 Ogos (Hrkh) - Senat Mahasiswa Islam Kolej Islam, Universiti Prince Of Songkhla melahirkan rasa kesal terhadap penangkapan bekas-bekas pelajar Malaysia yang pernah menuntut di Pakistan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka menganggap tindakan kerajaan Malaysia itu begitu terdesak sekali, menggunakan akta yang tidak terdapat di mana-mana negara demokrasi di seluruh dunia.

Presidennya, Alias Ismail Manwan, 21 berkata, beliau begitu terkejut apabila mendengar berita penangkapan tersebut dari rakan-rakan di Malaysia.  Katanya, penahanan tanpa bicara di bawah ISA tidak pernah berlaku di Thailand, biarpun pemerintahnya bukan dikuasai orang Islam.

"Ini sesuatu yang cukup pelik dan aneh sekali berlaku di Malaysia kerana seseorang ditahan tanpa perlu dibicarakan di mahkamah secara terbuka.

"Tindakan seumpama itu menimbulkan banyak tanda tanya termasuk kerajaan Malaysia tidak mampu untuk membuktikan seseorang yang ditahan benar-benar bersalah," katanya ketika ditemui sempena kunjungan Menteri Besar Kelantan ke universiti tersebut, 11 Ogos.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat diundang khas pihak universiti untuk menyampaikan ucaptama pada wacana mengenai pemikiran Imam Shafei.  Peserta pada bengkel sehari itu turut dihadiri seluruh ulamak dari Thailand, wakil-wakil dari negara Arab dan Malaysia.

Turut serta pada kunjungan tersebut, anggota-anggota Exco, Ustaz Mohamed Daud, Takiyuddin Hassan, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan  Iktisad Negeri Kelantan, Haji Hanifa Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakhri Harun.

Alias berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar sedikit masa lagi untuk membincangkan mengenai tindakan kerajaan Malaysia yang begitu luar biasa terhadap pemimpin-pemimpin gerakan Islam.  Katanya, pihaknya juga sedang merangka memorandum bantahan untuk dihantar kepada kerajaan Malaysia sebagai menyatakan kekesalan terhadap perkembangan terbaru yang berlaku di negara tersebut.

"Tindakan ini bukan bermakna untuk campur tangan terhadap hal ehwal negara lain, tetapi sebagai menyatakan simpati terhadap nasib bekas pelajar dan pemimpin gerakan Islam di Malaysia," katanya.

Senat Mahasiswa Islam dianggotai ribuan pelajar-pelajar Islam yang terdapat di seluruh Thailand.
Di bahagian selatan sahaja terdapat lebih 4,000 pelajar menganggotai senat tersebut termasuk 540 mahasiswa dari Kolej Islam, Universiti Prince Of Songkhla.

Alias juga berkata, pihaknya pernah menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan Malaysia kerana menahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim secara luar biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Sukan, senat berkenaan, Rosdi Haji Solah, 24 berkata, pihaknya begitu bersimpati terhadap nasib yang dihadapi bekas-bekas pelajar Malaysia yang pernah menuntut di Pakistan, ditahan di bawah ISA.

Katanya, tindakan menahan tanpa bicara adalah sesuatu yang zalim dan tidak sepatutnya berlaku dalam era ketamadunan dunia sekarang.  Beliau yang berasal dari Wilayah Yala berkata, kerajaan Malaysia perlu membebaskan bekas pelajar-pelajar terbabit, sekiranya gagal membuktikan mereka benar-benar bersalah.

Baru-baru ini, 10 bekas pelajar Malaysia yang pernah menuntut di Pakistan ditahan di bawah ISA, kononnya terbabit dengan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan menggunakan kekerasan.
Di antara mereka termasuk anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli, 34 yang ditahan 4 Ogos lalu.

Saudi Man, 23 pelajar tahun empat Islamic Study kolej berkenaan berkata, beliau begitu terkilan dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang, seolah-olah menyekat kebangkitan Islam secara kekerasan.  Beliau yang kurang fasih bertutur bahasa Melayu meminta kerajaan Malaysia bertindak secara rasional dan bukan membelakangi hak-hak asasi manusia.

"Kami menuntut kerajaan Malaysia membicarakan 10 bekas pelajar terbabit di mahkamah secara terbuka, sekiranya benar-benar terbukti mereka terbabit dengan kegiatan memudaratkan keselamatan di Malaysia," kata Abdul Jabit Musa, 21 pelajar tahun tiga, kolej berkenaan.
Beliau yang berasal dari Chenok berkata, tindakan dilakukan kerajaan Malaysia menahan tanpa bicara rakyat, tidak pernah kedengaran berlaku di Thailand.

Nasaruddin Sidek, 18 berkata, beliau mengikuti perkembangan di Malaysia melalui internet dan rakan-rakan yang sering berkunjung ke Kelantan turut terkejut dengan penahanan tanpa bicara pemimpin gerakan Islam.  Pelajar semester pertama kolej berkenaan melahirkan rasa hairan bagaimana seseorang yang tidak dibuktikan bersalah secara nyata boleh ditahan pihak berkuasa.

Senat Mahasiswa Islam Thailand merupakan pertubuhan aktif yang memperjuangkan nasib umat Islam di negara tersebut dan penduduk muslim di rantau ini.