Mazlan Jusoh 
Malaysia aman, Umno kecamuk - Nik Aziz 
 

PATTANI (Selatan Thailand), 12 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, mengulangi lagi pandangannya bahawa tidak ada pergolakan dalam negara Malaysia kecuali kecamukan hanya melanda Umno sahaja.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, keadaaan keselamatan di Malaysia masih aman dan tidak pernah tergugat sehingga kini.  "Kami tengok negara aman, komunis sudah tidak ada lagi... perompak penyamun itu bukan masalah negara tetapi masalah tempatan. "Jadi masalah keselamatan negara tidak ada langsung di Malaysia, kecuali keselamatan Umno itu sendiri yang tergugat dan bukannya keselamatan negara.

"Umno tergugat dan bukan negara yang tergugat, kalau Umno tergugat biarlah kerana ia sebuah parti politik yang semakin tidak boleh terima rakyat," katanya ketika ditemuramah khas wartawan Radio Yala, Suhaimi Ismail Awae selepas menyampaikan ucaptama pada seminar pemikiran Imam Shafei di Kolej Islam, Universiti Prince Of Songkhla di sini, 11 Ogos.  Seminar sehari itu mengundangkan ulamak dari seluruh Thailand, wakil-wakil dari negara Arab dan Malaysia.

Sehubungan itu, Menteri Besar berkata, beliau berdoa supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan kerana ia tidak sesuai lagi diamalkan.  "Saya juga berharap akta seperti itu tidak berlaku di negara-negara lain," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Barisan Nasional masih mahu menggunakan akta tersebut kononnya menyekat kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara.  Katanya, kerajaan BN memperketatkan pengeluaran permint ceramah kononnya boleh mengancam  keselamatan negara, sedangkan ia sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

4 Ogos lalu, anak Menteri Besar, Nik Adli, 34 ditahan di bawah ISA bersama sembilan yang lain kerana dikaitkan dengan Kumpulan Mujahiddin Malaysia kononnya untuk menjatuhkan kerajaan melalui kekerasan.


Taleban

Ditanya wartawan Radio Yala mengenai kerajaan Taleban di Afghanistan katanya, beliau tidak boleh sebut masalah itu kerana tidak tahu sepenuhnya mengenai perkembangannya.

"Macam mana saya hendak tahu masalah Taleban yang begitu jauh dari sini, di tempat kita sendiri pun banyak kita terima laporan yang tidak betul.  "Saya sendiri sering kali menjadi mangsa kepada surat khabar dan media elektronik di Malaysia, apa lagi hendak memberi kenyataan mengenai Taleban," tambahnya.

Mengenai kes bunuh dalam Islam, beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, Islam membenarkan manusia dibunuh, sekiranya seseorang didapati bersalah membunuh orang lain. Kalau tidak bunuh secara gantung pun, ada negara menjatuhkan hukuman bunuh dengan cara suntikan beracun.
"Hendak bunuh sama ada melalui gantung, suntik beracun atau dengan menembak menggunakan senapang, itu hanya dari aspek teknikal saja. 

"Disebut dalam al Quran  apabila dilakukan hukuman rejam sampai mati ke atas orang yang berzina, hukuman yang dilakukan perlu disaksikan orang ramai.

"Saya sudah acap kali menyebut hukuman gantung terhadap kesalahan pengedaran dadah di Malaysia tidak boleh dibuat secara senyap.  "Saya setuju biar orang ramai tengok sendiri," katanya.
Beliau berkata, hukuman itu perlu disaksi oleh orang mukmin.  Selain itu, boleh juga dilakukan melalui siaran televisyen.  Oleh itu, beliau bersetuju hukuman gantung diteruskan oleh mana-mana negara di seluruh dunia sekarang.

Ditanya hukuman itu dikritik hebat negara Barat, beliau berkata, pihak berkenaan memang tidak bersetuju terhadap apa yang dilakukan ke atas orang Islam termasuk larangan minum arak, berjudi dan maksiat.

Dana Kelantan

Wakil radio Yala itu juga bertanya mengenai dana masyarakat di Kelantan, Menteri Besar berkata, biar pun negeri kecil, kerajaan menubuh beberapa tabung (dana rakyat) yang dikenali sebagai Tabung Serambi Mekah, Tabung Belia Niaga dan Tabung Qardhu Hassan.

"Kami sudah lama buat dan tidak dikenakan sebarang riba.  "Begitu juga Tabung Qardhu Hassan, kita bagi pinjam duit kepada peniaga kecil tanpa mengenakan riba," tambahnya.

Menteri Besar berkata, sehingga kini kerajaan Kelantan sudah mewujudkan tiga dana untuk membantu rakyat tanpa mengenakan sebarang riba.

Menurutnya, begitu juga dengan pinjaman kepada pegawai kerajaan negeri tidak dikenakan sebarang riba, biarpun sebelum ini pernah dikenakan riba sebanyak empat peratus oleh kerajaan terdahulu.
Apa yang dilakukan sekarang, misalnya pegawai berhutang sebanyak RM10,000 untuk membeli sesuatu, kemudian mereka membayar balik sebanyak itu juga.

"Riba menindas orang miskin dan mereka semakin teruk, namun orang yang kaya tambah seronok," tambahnya.