Mazlan Jusoh 
Nik Aziz tokoh terulung abad ini - Dr Ismail 
 

PATTANI (Selatan Thailand), 12 Ogos  - Kehadiran Menteri Besar Kelantan ke sini memberi manfaat besar kepada umat Islam di negara Thailand terutamanya dari segi ilmu dan akhaknya yang terpuji.

Pengarah Kolej Islam Yala, Dr Ismail Lotfi berkata,  kita nampak umat Islam di Selatan Thailand begitu berminat sekali terhadap cara-cara penyampaian Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai Islam sehingga mereka mendapat manfaat begitu banyak.

"Ini adalah antara hasil hubungan baik di antara dua negara iaitu Pattani Darulsalam dan Kelantan Darulnaim," katanya ketika ditemui pada seminar pemikiran Imam Shafei di Universiti Prince Of Songkhla di sini, 11 Ogos.

Dr Ismail seorang tokoh ulamak terkenal di Selatan Thailand berkata, beliau bersyukur dan berharap ikatan  saling manfaat ini terus berjalan dan berkekalan.  Katanya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang ulamak yang terulung di Asia Tenggara sekarang.

"Selain itu kepemimpinannya politik begitu disegani dan kemasyhuran sebagai ulamak paling ulung dalam abad ini.

"Maka kita nampak sepanjang pentadbirannya sebagai ketua kerajaan di Kelantan banyak mendapat barakah dari Allah Taala. Kita dapati rakyat dapat terima barakah itu," tambahnya.  Beliau berkata, kewibawaan pemimpin pemimpin berkenaan menggambarkan tokoh yang berpendidikan tinggi dalam ilmu Islam mampu memimpin negara dengan baik sekali. "Sedangkan hakikat itu disalah sangka oleh orang terdahulu," ujarnya.

Bagaimanapun itu bukan bererti Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkerja seorang diri dan beliau mendapat kerjasama cendekiawan semua bidang yang diperlukan dalam sebuah negara.  Oleh itu, beliau mahu semua pihak yang mendakwa mahu kepada Islam perlu menjadikan Menteri Besar Kelantan sebagai salah seorang tokoh Islam yang dijadikan model.

"Beliau menjadi contoh kepada orang yang bekerja dalam gerakan Islam sama ada dari segi akhlak, sikap dan kedudukannya yang sederhana.
"Apa yang ada pada dirinya perlu menjadi contoh dan payah dicari tanding dalam dunia umat Islam sekarang.

"Mudah-mudahan contoh seperti ini diambil manfaat oleh semua orang yang mendakwa mahu kepada Islam," ulanginya lagi.

Dr Ismail menegaskan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah satu-satunya model yang patut diambil perhatian serius dalam abab ini.

Nama Menteri Besar Kelantan begitu sinonim dengan umat Islam di wilayah Selatan Thailand sejak beberapa tahun lalu, sehingga beliau menjadi pilihan utama untuk menyampaikan ceramah agama kepada penduduk tempatan.

Sehingga kini, beliau sudah dijemput ke merata tempat di tiga wilayah selatan termasuk Narathiwat, Pattani dan Yala untuk menyampaikan ceramah agama dan berdialog mengenai Islam.

Selain itu, umat Islam di Selatan Thailand juga boleh mengikuti kuliah agama setiap hari dan hari minggu oleh Menteri Besar Kelantan melalui radio Yala, Narathiwat dan Sungai Padi.

"Alhamdulillah kita tengok suasana di negara Thailand kebelakangan ini dari segi keamanannya sangat baik, yang menyebabkan rakan kita di Malaysia boleh datang.

"Ini sesuatu yang amat berguna kepada umat Islam di bahagian Selatan Thailand sekarang. Kehadiran tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak dua tahun lalu memberi kebaikan besar sekali.
Menurutnya, sehingga sekarang beliau sudah acap kali datang ke sini bagi memenuhi jemputan pelbagai pihak.

"Hubungan akrab dan keamanan yang berlaku di antara dua negara ini tidak seperti puluhan tahun lalu. Ini satu kelebihan Allah ke atas kita sekarang," katanya.