Di mana realiti larangan tazkirah
 
LARANGAN tazkirah suatu kejutan baru di 'Negara Islam' - Malaysia. Selepas mengisytihar "Negara Islam' maka dilarang pula tazkirah. Malah, dikhabarkan Sheikul Al Azhar, Prof Dr Sheikh Tantawi juga mengakui negara ini sudah layak digelar 'Negara Islam'.
 
Pemimpin utama negara, Melayu dan Cina juga akui Malaysia 'Negara Islam'. Islam jenis mana, kalau sekadar tazkirah yang mengingatkan manusia kepada Tuhannya ditegah dan dilarang. Islam menganjurkan umatnya menuntut ilmu dari buaian sehingga ke lubang lahad. Ada hadis yang menyebut 'Tidak ada hamba Allah beri kuasa memerintah orang ramai dan tidak menjaga menjaga mereka dengan nasihat kecuali ia tidak akan mendapat bau syurga.'
 
Tazkirah menjadi dimensi untuk mendidik umat Islam secara tidak langsung. Institusi pendidikan bukan sekadar di sekolah, kolej atau universiti semata-mata. Malah masjid, surau dan madrasah menjadi platform menyuburkan Islam sejak zaman berzaman.
 
Apabila seorang menteri Pusat mengatakan tidak wajar diadakan tazkirah di masjid kerana orang ramai datang untuk beribadat, apakah elemen tazkirah itu bukan ibadat. Pemikiran tidak rasional seperti ini tentunya mengelirukan mereka yang baru mengenali Islam.
 
Kemungkinan pula hala tuju larangan itu menjurus kepada tazkirah menjadi ceramah politik. Cuma tidak disebut secara jelas menteri terbabit. Sekiranya begitu, takut sangatlah pemimpin 'Negara Islam' apabila orang ramai datang ke masjid faham lebih banyak mengenai ilmu Islam. Atau cukup hanya sekadar makmun sebut ayat-ayat al Quran dan mereka tidak faham maksudnya.
 
Biarlah fikiran makmun menerawang jauh ketika solat, kerana mereka tidak dibenarkan faham apa dibaca imam. Tazkirah bagi menerangkan bacaan itu dilarang. Jadi kalau ada pihak labelkan kita Islam Pak Turut, ada orang marah pula.
Inilah realiti yang berlaku. Masalah politik dan isu semasa dalam tazkirah perkara kedua. Tegahan untuk rakyat faham mengenai Islam mungkin menjadi asas kepada arahan menteri terbabit.  Sepatutnya dalam gelombang kebangkitan Islam dan Malaysia sudah diisytihar "Negara Islam', menteri terbabit memikirkan kembali rasionalnya arahan itu.
 
Pandangan Menteri Besar Kelantan, supaya kerajaan memberi garis panduan yang khusus terhadap tazkirah dan bukannya melarang sepatutnya menjadi perhatian. Malah garis panduan seumpama itu sudah diwujudkan di Kelantan, di mana setiap imam atau ustaz diminta tidak menyebut nama parti politik dalam tazkirah.
 
Kini rakyat bertambah malu untuk menobatkan Malaysia 'Negara Islam' apabila syiar Islam cuba dihalang. Tazkirah yang diadakan sekadar mengulas ayat al Quran dibaca ketika solat. Sekiranya menyentuh pelbagai isu mengenai kehidupan manusia, itu realitinya sebuah kitab suci. Al Quran diturunkan dari Allah Taala yang mengatur segala kehidupan manusia.
Apabila proses memberi kefahaman, ayat-ayat Allah berlaku, orang ramai akan faham maksud isi kandung al Quran. Ketika sembahyang mereka akan mengingati maksud-maksud ayat yang dibaca imam. Sembahyangnya tentu menjadi lebih khusyuk.
 
Oleh itu, dalam keriuhan mengisytiharkan Malaysia 'Negara Islam' kerajaan Pusat tidak sepatutnya mengulangi larangan berkuliah di masjid terhadap pemimpin gerakan Islam seperti dilakukan kerajaan Selangor.
Sepatutnya ketua-ketua kerajaan yang mengakui beragama Islam mengambil tindakan serupa dengan kerajaan Kelantan, membenarkan tazkirah diadakan.
 
Kata Menteri Besar Kelantan tidak ada sebab untuk melarang perkara yang boleh mendidik masyarakat. Menurut beliau sekiranya seluruh masjid, surau dan madrasah mengadakan tazkirah, ribuan ilmu bermanfaat diperolehi rakyat pada bulan Ramadhan.
 
Katanya, kalau ada pihak mendakwa, tazkirah menyebabkan makmun berada di masjid lebih lama, tidakkah Islam menggalakkan umatnya beriktiqah di masjid.