PPRT harus dibersihkan elemen kepartian
 
RAKYAT Kelantan benar-benar terkejut. Berita penipuan pelaburan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) sehingga berjumlah RM40 juta, bukan perkara enteng. Juteru itu, siasatan sehingga ke akar umbi perlu dilakukan.
Lebih-lebih lagi penyelewengan itu khabarnya dikesan di Kelantan dan Terengganu. Ini sesuatu yang cukup malang sekali. Sedangkan kerajaan Pusat (Umno dan Barisan Nasional) berhempas pulas mahu merampas negeri yang dikuasai pembangkang itu.
 
Namun, dalam masa yang sama, wang untuk membantu rakyat diselewengkan. Sebelum ini, rakyat Kelantan mengenali PPRT sebagai projek Umno. Dari gubuk kerajaan untuk penyokong Umno. Sedangkan konsep asalnya untuk membantu rakyat miskin, sudah jauh menyimpang.
 
Orang kampung, sudah lama merungut. Mereka yang benar-benar miskin dipinggirkan. Malangnya penduduk yang dikategorikan sebagai kelas pertengahan pula mendapat bantuan PPRT. Penduduk yang sudah ada rumah, diberi lagi rumah subsidi (PPRT). Perkara seumpama ini tidak mampu disembunyikan. Bukan sekadar khabar lagi. Kita boleh datang ke kampung-kampung di hulu Kelantan.  Rumah papan baru yang lengkap dengan dapur, khabarnya menelan belanja antara RM3,000 hingga RM5,000 dibina dengan duit PPRT.
 
Di jajahan Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli, dikhabarkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diberi tanggungjawab mengendalikan PPRT. Apa yang mendukacitakan semua rumah yang dibina di atas ihsan PPRT, disyaratkan wajib sokong 'atas darat' (terangan) Umno. Penyokong parti lain, hanya sempat disenarai sahaja. Apabila dapat rumah, mesti penyokong parti itu.
 
Keadaan begitu ketara sekali menjelang pilihan raya umum ke-10 lalu, di mana setiap rumah PPRT mesti dilekatkan bendera dacing berwarna biru tua. Ada tuan rumah mendakwa mereka dipaksa untuk berbuat demikian.  Maka di segenap ceruk kampung di hulu Kelantan kelihatan terlekat megah bendera dacing di rumah PPRT. Membirulah rumah orang kampung.
 
Penyokong Umno bukan main seronok sekali ketika itu. Ada di antara atap rumah mereka yang tidak pernah bocor pun, dan lengkap dengan kolah mandi besar turut mendapat rumah subsidi. Pendek kata, semua orang kampung tidak segan silu lagi mengaku menjadi Umno. Berkerbau berperempatlah orang kampung. Inilah hakikatnya.
Kalau hendak diistilah sebagai seleweng, mungkin ini antara elemennya. Bantuan PPRT sudah menjadi milik parti yang berlambang dacing. Perkara ini bukan sehari dua berlaku, sudah lama. Kalau di Kelantan sejak Oktober 1990, apabila kerajaan BN tumbang di Kota Darulnaim.
 
Kata menteri yang bertanggungjawab terhadap bantuan itu, laporan polis berhubung bantuan itu sudah dibuat. Diharap siasatan tidak usah kenal bulu, sekiranya ada bukti segera dakwa mereka.
 
Sekiranya lepas di dunia, maka tunggulah di akhirat kelak, api yang sedang menyala bakal merantah tubuh badan mereka. Sebelum ini, menteri yang bertanggungjawab terhadap program itu, khabarnya orang Kelantan. Maka kita tengok projek PPRT tidak kurang hebat di kawasan yang diwakilinya. Bertuahlah rakyatnya. Namun sekarang, taring sudah tidak ada, setelah ditolak rakyat pada pilihan raya lalu.
 
Oleh itu, sekiranya sikap ketelusan benar-benar berlaku, polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu siasat, hatta terhadap bekas menteri yang pernah dipertanggungjawab memikul PPRT. Ketelusan perlu kerana Malaysia sudah diisytiharkan 'Negara Islam'.
 
Malah, Menteri Besar Kelantan sejak dari awal lagi cukup mengalu-alukan siasatan tersebut. Apa lagi label selayak disinonimkan terhadap penipuan begitu banyak duit rakyat kalau tidak 'penyamun'.
Penipuan dan penyelewengan yang berlaku tidak perlu diungkit dalam bentuk mana sekali pun. Bila sudah digelar seleweng, bermakna pecah amanahlah, tidak kiralah dalam bentuk nilaian projek atau pelaburan.
 
Bagaimanapun rahmat sebaliknya berlaku ekoran pendedahan penyelewengan itu. Impian Umno untuk meraih simpati murahan menggunakan duit kerajaan, kini sudah benar-benar terbukti. Hatta harapan yang menggunung sejak 11 tahun lalu untuk merampas Kelantan semakin menjadi angan-angan lagi.
 
Rakyat Kelantan tentunya lebih arif lagi bijaksana membuat percaturan. Mereka sudah lama kenal antara kaca dan permata. Hati budi mereka sudah 11 tahun dibasuhi dengan arus Islam. Maka apa lagi harapan dan impian yang ada pada Umno. Siapa lagi tokoh yang mampu untuk mengembalikan maruah parti itu, sudah tercalar dengan penyelewengan PPRT.
Rakyat Kelantan tahu program PPRT bukan di bawah seliaan kerajaan negeri. Malah, ia menjadi egoisme bagi Umno sejak lama dulu. Maka kini bertembunglah di antara kebenaran dan kepalsuan. Elemen kepartian yang membungkus PPRT harus dibersihkan segera, sebelum penyelongkaran di sebalik PPRT terus berlaku.