AKSB sedia bekal air ke sekolah Indera Petra

KOTA BHARU, 13 Mac - Kerajaan negeri sedia bekerjasama bagi menyalurkan bekalan air bersih ke Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Wakaf Mek Zainab dekat sini untuk mendapatkan sumber air yang lebih terjamin kebersihannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ustaz Ahmad Yakob berkata, pihak terbabit boleh mendapatkan bekalan air bersih daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

"Selagi tidak ada permohonan untuk mendapatkan bekalan air tersebut, mereka tidak boleh menyalahkan pihak AKSB, permohonan perlu dihantar kepada pihak pengurusan AKSB terlebih dahulu.

"Sedangkan apa yang berlaku sekarang pihak AKSB turun ke bawah untuk menawarkan perkhidmatan bagi membekalkan air ke sekolah terbabit," katanya selepas mesyuarat Exco di sini, 13 Mac.

Baru-baru ini, Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri selama tiga minggu selepas enam pelajarnya disahkan mengidap demam kepialu.
Wabak tersebut dikesan menyerang enam pelajar berusia antara 7 hingga 12 tahun antara 21 Febuari hingga 3 Mac lalu.

Jabatan Kesihatan percaya serangan wabak tersebut berlaku disebabkan pencemaran makanan dan minuman di kantin yang menggunakan sumber air daripada telaga tiub berdekatan dengan tangki najis.

Ustaz Ahmad berkata, AKSB sentiasa menjaga mutu bekalan air yang dibekalkan kepada pengguna di negeri ini.
"Memandangkan musim kemarau sekarang kita minta pihak AKSB dan Jabatan Kesihatan memastikan mutu air yang dibekalkan kepada seluruh pengguna benar-benar selamat," katanya.

Menurutnya, pemantauan turut dilakukan Jabatan Bekalan Air dan perancangan khas perlu dirangka memandangkan musim kemarau sekarang.

Beliau juga menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati ketika menggunakan sumber air untuk memastikan ia selamat digunakan.

Ustaz Ahmad juga berkata, Kelantan berjaya menurunkan peratusan cirit birit pada tahun lepas dan peratusan itu diharap dapat dikekalkan lagi tahun ini.

"Kita berharap kes-kes yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi," ujarnya.
Menurut beliau juga, pemantauan terhadap makanan dan minuman yang dijual kepada orang ramai juga dilakukan oleh Jabatan Kesihatan.