Anak syarikat untung: Bukti keupayaan PAS mentadbir

KOTA BHARU, 13 April  - Keupayaan kerajaan PAS mentadbir semakin terbukti sekarang apabila beberapa syarikat anak milik agensinya berjaya mencatat keuntungan memberansangkan.

Kijang Kuari Sdn Bhd (KKSB) merupakan syarikat anak kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mencatat keuntungan bermula pada 1993, selepas mengalami kerugian sejak ditubuh pada 1976. Kerugian yang terpaksa ditanggung anak syarikat berkenaan iaitu sebanyak RM3.8 juta.

Bagaimanapun Ketua Eksekutif PKINK, Haji Hanifa Ahmad berkata, keuntungan terkumpul KKSB sehingga akhir tahun 2001 berjumlah RM5.8 juta. Katanya, keuntungan itu berjaya diraihkan selepas penyusunan semula dilakukan terhadap syarikat berkenaan.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kerugian besar yang dialami sebelum ini adalah diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Sebahagian besar anak-anak syarikat PKINK mengalami kerugian sebelum ini kerana imej pengurusan yang lebih mirip kepada 'kolar putih' dan bukannya 'kolar biru'.

"Sedangkan pengurusan anak-anak syarikat perlu kepada pemikiran yang menjurus kepada perniagaan," katanya pada majlis penganugerahan Sijil Pengiktirafan MS ISO 9002 kepada KKSB di Hotel Perdana, 11 April.

Dato' Abdul Halim berkata, kerajaan negeri berusaha mengatasi kerugian yang berlaku terhadap KKSB dengan melaksanakan penyusunan termasuk menggabungkan KKSB, Binaraya dan Kelkon di bawah satu pengurusan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri menggalakkan pelbagai projek yang dijalankan di bawah pihak berkuasa tempatan memperolehi bekalan bantuan daripada KKSB.

"Adalah diharapkan pada masa akan datang, Kelkon dan Binaraya juga akan berjaya mendapatkan pengiktirafan MS ISO 9002," katanya.

Sebelum ini, Syarikat Ladang Sungai Terah yang juga anak syarikat milik PKINK mendapat pengiktirafan serupa daripada Sirim Qas Sdn Bhd.

Haji Hanifa juga berkata, KKSB mulai beroperasi pada 1976 di tapak seluas 30 ekar di Bukit Buluh, Pulai Chondong, Machang. Bagaimanapun katanya, disebabkan kawasan tersebut sudah lama diteroka, menyebabkan tempoh untuk mengeluarkan batuan hanya tinggal empat hingga lima tahun lagi.

"Oleh itu, usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan kelulusan kerajaan negeri bagi mengambil alih kuari milik JKR yang juga terdapat di kawasan berhampiran.

"Sekiranya usaha itu menjadi kenyataan, tempoh hayat bagi KKSB di Bukit Buluh akan lebih panjang lagi," katanya.
Bagaimanapun menurutnya, KKSB juga membuka sebuah lagi kuari iaitu di Gua Musang pada tahun lepas yang membabitkan kos sebanyak RM6 juta.

Menurutnya, kuari tersebut mempunyai potensi untuk berkembang disebabkan di kawasan berkenaan, sedang dijalankan projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Simpang Pulai di Perak ke Gua Musang dan Kuala Berang, Terengganu.

Katanya juga, kewujudan kedua-dua kuari tersebut mampu menyumbang pendapatan kepada kerajaan negeri sebanyak RM600,000 setahun dalam bentuk royalti.

Sementara itu, Pengurus Besar KKSB, Haji Nik Azman Nik Mustapha berkata, Kijang Kuari mulai memperolehi keuntungan sejak 10 tahun lalu, iaitu sebanyak RM1 juta setahun. Keuntungan yang dijangka tahun ini juga di antara RM1 hingga RM2 juta.

Menurutnya, sebahagian besar batuan yang dihasilkan oleh KKSB digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan pembangunan lain dijalankan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri.

"KKSB juga sedang berusaha menghasilkan produk-produk hiliran bagi mempelbagaikan punca pendapatan.
"Industri kuari dijangka tidak menghadapi masalah memandangkan projek pembangunan sentiasa dijalankan setiap masa," ujarnya pada sidang media selepas itu.

Naib Presiden Kanan Sirim (Penyelidikan dan Teknologi) Qas Sdn Bhd, Dr Mohd Yusof Zakaria berkata, sejak 1987 sehingga sekarang sebanyak 250,000 sijil pengiktirafan dikeluarkan pihaknya kepada pelbagai pihak di negara ini.

Menurutnya, setiap bulan pihak Sirim Qas menerima sebanyak 30 hingga 40 permohonan untuk mendapat pengiktirafan.
Beliau berkata, pengiktirafan seperti itu penting bagi membolehkan produk-produk yang dihasilkan pengeluaran tempatan dapat bersaing menjelang AFTA pada 2003.