Analisa BERITA politik Kelantan
'Kumpulan 12' berjaya gugatkan Mustapa Mohamed?

UMNO Kelantan kini benar-benar berdepan dengan kemelut dalaman, apabila Dato' Mustapa Mohamed terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia secara tergesa-gesa. Perletakan jawatan pemimpin berkenaan dianggap nikmat kejayaan perjumpaan 12 pemimpin Umno (kumpulan 12) Kelantan baru-baru ini, sebagai langkah permulaan untuk menggulingkan Mustapa.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Zulkefli Yaakub berkata, perletakan jawatan Mustapa benar-benar mengejutkan kerana pemimpin berkenaan dianggap sebagai tokoh Umno yang berkaliber sebelum ini. Kata beliau, sepatutnya seorang pemimpin yang berjiwa besar tidak meletak jawatan secara tiba-tiba, hanya disebabkan kemelut dalaman yang berlaku terhadap kepemimpinannya.

"Ini secara tidak langsung menggambarkan pergolakkan dalaman Umno Kelantan benar-benar parah, memandangkan Presiden Umno sendiri difahamkan merestui tokoh terbabit meletak jawatan secara mengejut.

"Ada juga pihak berpendapat percubaan kumpulan 12 yang berusaha menggulingkan Mustapa sebelum ini, kini dianggap hampir membuah hasilnya," kata Adun Guchil itu dihubungi di Kuala Krai.

Pada 12 April lalu, Mustapa mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia selepas dilantik ke jawatan tersebut pada pertengahan tahun 2000. Pada sidang media tersebut beliau dilaporkan berkata, perletakan jawatan itu dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan sepenuh kepada Umno Kelantan. Ekoran perletakan jawatan tersebut juga bekas menteri berkenaan tidak lagi menjadi anggota jawatankuasa pengurusan Umno Pusat. "Perkara itu saya sudah maklumkan kepada Presiden Umno dan mendapat persetujuannya," katanya pada pemberita.

Pada 16 Mac lalu pemimpin kanan Umno daripada 12 bahagian dikatakan dijemput hadir pada satu perjumpaan di rumah Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Dato' Wan Zaid Wan Abdullah di sini. Menurut laporan media, Ketua Umno Bahagian berkenaan mengakui tidak menjemput Ketua Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Bahagian Jeli, Mustapa hadir pada perjumpaan berkenaan.

Wan Zaid dipetik sebagai berkata, secara peribadi, beliau berpendapat Mustapa lebih diperlukan pada peringkat pusat, dan bukan di Kelantan. Umno Kelantan memerlukan ketua yang boleh bekerja kuat, agresif dan sepenuh masa, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, kata Wan Zaid.

Kini telahan dibuat kumpulan 12 yang mahu mengulingkan Mustapa kononnya pemimpin lebih diperlukan di pusat ternyata mengundangkan risiko baru. "Tiba-tiba Mustapa yang dikatakan lebih diperlukan di pusat meletak jawatan dengan alasan kononnya untuk memberi tumpuan kepada Umno Kelantan. "Langkah terbaru yang diambil Ketua Bahagian Jeli ini seolah-olah mencabar kumpulan 12 yang dikatakan mahu mengulingnya," kata Ustaz Zulkefli.

Penyelia Dewan Undangan Negeri Galas, Che Hashim Sulaima berkata, Umno Kelantan kini benar-benar bergelora kerana usaha untuk menyingkirkan Mustapa mendapat reaksi segera pemimpin berkenaan.

Katanya, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu bertindak pantas dengan kehadiran Presiden Umno ke sini, 12 April lalu untuk mengumumkan perletakan jawatannya.

"Ada pihak berpendapat Mustapa benar-benar kecewa dengan sikap kumpulan 12 sehingga dia membuat keputusan tergesa-gesa meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia.

"Bagaimanapun sikap mudah melatah itu boleh mengundang padah lain apabila kumpulan 12 kemungkinan membuat desakan secara berterusan untuk memastikan Mustapa kehilangan segala-galanya," katanya.

Sementara itu, pemerhati politik di sini berpendapat, terdapat usaha-usaha untuk mengangkat kembali Ku Li berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku sekarang. Katanya, kedatangan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad ke Kelantan dan menerima anugerah tertinggi daripada Sultan Kelantan dilihat mempunyai hubung kait dengan usaha untuk melobi semula Ku Li.

Jentera lobi Ku Li pula dikatakan diketuai Ketua Umno Bahagian Dato' Ibrahim Ali, yang mempersembahkan patung burung Petalawati kepada Sultan Kelantan, sempena hari ulangtahun keputeraan baginda, baru-baru ini. Ku Li adalah bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan.

Ada juga pihak berpendapat, perletakan jawatan Mustapa sudah dirancang sendiri di peringkat tertinggi Umno di Kuala Lumpur bagi mengangkat kembali Ku Li ke jawatan lebih tinggi dalam rumah tangga Umno di Pusat dan negeri.

"Tarikh pengisytiharan itu dibuat ketika Dr Mahathir melawat Kelantan mempunyai hubung kait yang jelas.
"Manakala pihak yang menjadi urusetia kepada lawatan Presiden Umno ke Kelantan ialah Ibrahim dan Ku Li.
"Ini kerana Ketua Bahagian Pasir Mas yang pernah menjadi anak didik Ku Li membuat kenyataan media awal-awal lagi mengumumkan kedatangan Dr Mahathir ke sini dan bukan Mustapa sebagai Ketua Perhubungan Umno negeri," tambah Che Hashim.

Seorang pemimpin masyarakat India, Musa Amin berkata, perletakan jawatan Mustapa memberi peluang terbaik Dr Mahathir untuk menaikkan semula pemimpin berdarah raja di Kelantan. Katanya, jawatan yang dikosongkan Mustapa itu dilihat berpotensi diisi Ku Li atau setidak-tidaknya Ibrahim yang bekerja kuat dengan pasukan pemimpin Umno itu.

Kemunculan Wan Zaid pula, yang dianggap merelakan rumahnya menjadi tempat pertemuan kumpulan 12 pemimpin Umno Kelantan difahamkan mempunyai pertalian secara tidak langsung dengan Ku Li dan Ibrahim. Wan Zaid yang memegang jawatan Pengerusi Kesedar lebih banyak berurusan dengan Ku Li, memandangkan dia sebagai anggota Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian berkenaan.

Kesedar juga mempunyai ibu pejabatnya yang terletak di Bandar Gua Musang dan sebahagian kawasan pentadbirannya terletak di bawah naungan parlimen itu. Pemimpin berkenaan mendapat banyak manfaat daripada Kesedar termasuk menyalurkan bantuan kepada penduduk miskin di kalangan penyokong Umno melalui Program Pembangunan Rakyat Miskin (PPRT).

Kesedar difahamkan menjadi batu loncatan mudah kepada Wan Zaid untuk menarik sokongan rakyat di kawasan Kelantan Selatan bagi menyokong Umno.

Seorang penduduk di Gua Musang, Mohd Hussin Hassan berkata, Wan Zaid yang tiba-tiba muncul dalam kumpulan 12 bertindak demikian bagi menjamin kedudukannya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Pemimpin itu dikatakan meletak harapan tinggi untuk terus kekal sebagai Pengerusi Kesedar bagi memudahkan menghadapi lawan pada pilihan raya umum nanti.

"Kesedar mampu memberi pelbagai kemudahan kepada pemimpin Umno terutamanya bantuan rumah subsidi di bawah PPRT," katanya.

Berdasarkan senario yang berlaku sekarang adalah jelas kumpulan 12 tidak mungkin menghentikan gerakan menjatuhkan Mustapa di Kelantan, biarpun dia sudah meletak jawatan di peringkat pusat. Kumpulan 12 dijangka terus mempromosi nama-nama seperti Ku Li, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Zaid Ibrahim, Ketua Bahagian Pengkalan Chepa, Dr Nik Mohd Zain Omar dan tidak ketinggalan Ibrahim Ali. Kumpulan 12 kini menanti masa untuk meraikan sepenuhnya hasil usaha mereka.