Amerika Syarikat Diserang?
 
BERITA tentang serangan balas ke atas Lapangan Terbang Kabul semalam sejurus selepas tragedi rempuhan bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon di Washington adalah reaksi dari sebuah aksi.

Bagaimanapun, tidakkah mungkin apa yang dikatakan aksi itu adalah sebagai reaksi  kepada  aksi-aksi antagonis yang bersifat keganasan oleh Kuasa Besar?  

Malah jika dikumpulkan fakta di sepanjang  selepas Perang Dunia Kedua sehingga kini, terlalu banyak insiden-insiden keganasan kuasa-kuasa besar ke atas kuasa-kuasa kerdil yang tidak berdaya.   Ringkasnya, aksi keganasan akan disambut dengan reaksi yang sama atau lebih ganas.  

Presiden Bush Jr. yang ada sekarang tentunya masih tidak lupa bagaimana bapanya yakni Presiden George W Bush Sr memusnahkan Baghdad 10 tahun yang lalu.  Barangkali kehibaan yang dilalui oleh Saddam Hussain ketika itu kini sedang dirasai pula oleh Amerika.
Kisah pengeboman dan serangan ke atas Kabul samalah seperti kisah Firaun yang marahkan tukang-tukang sihirnya kerana berpaling  tadah menyokong Nabi Musa.   Sikap mana-mana pihak jua yang barangkali terlalu marahkan Osama bin Laden lalu dengan tiba-tiba menjadikan Kabul sebagai "punching bag" sangat mendukacitakan.
 
Serangan ke atas Kabul oleh kumpulan-kumpulan yang anti Taleban seperti  yang  dilaporkan  dalam  Utusan  Malaysia  pada 13 September 2001 sekaligus sehingga ini menafikan ia perbuatan khianat hasil tindak balas Amerika.  

Masyarakat antarabangsa cukup mengalu-alukan kenyataan terbuka Collin Powell, Setiausaha Negara Amerika pada lewat 12 September  2001   yang   mengesahkan   bahawa   sungguhpun   tragedi kemusnahan yang meragut 10,000 nyawa semalam itu adalah "an act of terrorist" tetapi beliau menegaskan bahawa "ia tidak semestinya dilakukan oleh orang Islam atau orang-orang Arab sahaja."     Pendirian ini amat selaras dengan amalan sihat "jangan menuduh jika tiada cukup bukti".  

Semua akan berkongsi simpati ke atas tragedi yang menimpa Amerika jika AS terus berpegang kepada pendirian ini.  
Bagaimanapun, ia hendaklah "consistent".   Hanya siasatan yang terperinci dengan cukup bahan bukti dan dibawa ke meja PBB sahaja yang mampu sekurang-kurangnya mengizinkan tindakan Kuasa Besar itu untuk sama ada memutuskan duduk bersabar, atau berdiri atau bertindak mengikut kehendak selaras dengan segala piawaian yang termaktub dalam amalan kemanusiaan antarabangsa. 
Sama ada ia bersifat peraturan bertulis, atau yang pernah menjadi "precedent" dan amalan antarabangsa yang mulia.
 
Apa yang mendorong manusia melakukan serangan ke atas menara-menara berkenaan?   Menarik sungguh soalan ini untuk terus dijawab.   Seorang kanak-kanak Tahun I boleh tendang saji atau melontar beg sekolahnya jika dibuli oleh abangnya yang mungkin berada di Tingkatan II. 

Ini naluri dan ini psikologi. Ia amat asas. Mungkinkah dunia bangsa kerdil dan negara-negara kecil telah sudah sekian lama didera dengan tekanan, penindasan dan intimidasi yang terlalu lama.  

Sungguhpun mereka tidak berdaya untuk melawan, ia berupaya mengumpulkan dendam kesumat yang pecah kesabarannya dalam bentuk letupan. Perasaan boleh meletup dalam bentuk demonstrasi aman, keganasan-keganasan kecil yang meletus di serata dunia yang mengalami penindasan.  

Ia juga mungkin, malah telah berlaku letusan/ledakan perasaan yang diatur secara pendekatan 'berani mati'.   Pendekatan "kamikaze" yang dibantu oleh teknologi canggih terkini seperti yang dicuba dan terbukti 'menjadi' semalam di Kota Washington amatlah memeranjatkan.  

Ia bukan setakat sebuah letupan yang meleburkan dua tiga menara yang mengorbankan jiwa, malah adalah sebuah manifestasi ledakan perasaan golongan yang tertindas yang telah sekian lama.  

Serangan ini sebenarnya adalah serangan ke atas Amerika Syarikat. Sebuah kuasa besar yang tunggal di dunia semenjak Perang Dingin telah mampu diserang oleh satu golongan tertindas yang 'tidak bernama' atau masih 'belum sempat diberi nama'.  
Ini sebuah berita yang mengubah paradigma.
 
Jika sebelum ini kekuatan militari dirujuk sebagai bersifat unipolar, kini mungkin ianya sudah tidak benar.   Ia dinafikan oleh tragedi pada 12 September 2001 yang sama-sama kita sedang dan telah saksikan.   Amerika mungkin gagah perkasa.   Bagaimanapun Amerika juga perlu sedar bahawa setiap keganasan yang dilakukan sebelum ini baik di Bosnia, Palestine, Baghdad,  Vietnam, Cuba atau  Nicaragua sebagai contoh akan mengundang hukuman daripada Allah S.W.T.   Lambat laun ia akan berdepan dengan satu kuasa yang lebih kuasa iaitu Allah yang Maha Kuasa dan Maha Menentukan segala sesuatu. AS  tentu tidak lupa bahawa dia cuba menguasai dunia secara paksa dalam hampir segala segi.

Kini dia benar-benar berdepan dengan 'sepasang tangan ghaib' yang jangkauan  pengaruh  dan  kekuasaanNya  meliputi  tujuh  petala  langit  dan bumi.  Fenomena penuh misteri ini akan kian membingungkan AS apabila berdepan pula dengan sepasukan 'musuh' yang minat mencari kematian.  Minat yang menyalahi hukum lojik sebegini sekali lagi akan menambahkan bingung manusia sekular. Ini tentu lebih sukar.

Jika sebelum dan selama ini AS begitu gah dengan sikap "predator dan terminator"nya yang digambar secara angkuh oleh aktor-aktor "die hardnya" seperti  Arnold Schwarzenegger atau  Slyvester Stallone tajaan wayang-wayang Hollywood, kini nampaknya ia sudah boleh dipersoalkan.

Dia tidak boleh lagi menyepak dan menerajang sesiapa juga sesuka hati.  Anggapan yang meletakkan AS sebelum ini sebagai hero dunia kini sudah menjadi sebuah "kunun".    
 
Bagaimanapun, dunia masih percaya yang AS akan bangkit lagi.   "Bounce back"nya kali ini akan mungkin lebih samseng, ganas dan mencengkam sesiapa jua dimana-mana.   Penampilan wajah barunya nanti setelah menyemak kelemahan, memperbaharui kekuatan  dan mengukuhkan azam untuk mengatur dunia akan mengembalikan seluruh planet bumi ini berada di bawah kedua-dua tapak kakinya.

Di ketika itu nanti AS sudah menjadi amat kebal.   Dia pantang dimusnahkan oleh sesiapa.     Bila  ini  tiba,  dimana  segala-galanya  sudah menjadi mustahil, mungkin kekuatannya akan hanya mampu dileburkan oleh tangan kekuasaan Allah S.W.T. sahaja.
Firaun alaihilaknatullah  yang bermula dengan kesombongan diakhiri kisah gagahnya melalui tangan-tangan kekuasaan Allah S.W.T.   Dia diselam di tengah-tengah Laut Khulzum.   Laut Merah yang menjadi saksi bagaimana berakhirnya sebuah kuasa besar Firaun sepatutnya menjadi pengajaran kepada Firaun jenis Amerika atau lain-lain manusia yang membawa semangat kesombongan pemerintahan ala Firaun di mana-mana jua.
 
Lihat bagaimana nyatanya nasib mereka yang angkuh ini digambarkan oleh Al Quran melalui dua petikan ini:
"Dan berkata Firaun:  "Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku.  Maka bakarlah hai haman batu bata itu buatkanlah untuk ku, bangunan yang tinggi (raksasa) supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta."
(Surah Al Qashah:  Ayat 30)

"Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya, kerana hendak menganiaya dan menindas mereka; hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia:  "Saya percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (Kepada Allah)."
"Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya kamu telah derhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan."
(Surah Yunus:  Ayat 90 dan 91)
 
Cerita kemusnahan orang yang zalim sesungguhnya amat benar.   "Dia" hanya berpaut kepada hingguk jarum jam yang sedang menurun untuk gelungsur ke bawah bersama-sama dengan segala kesombongannya. Bila? Sabar, masanya hampir tiba!
     

Anual Bakhri bin Haron
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh: 25 Jamadil Akhir 1422
13 September 2001