Kes pecah amanah penjawat awam dipandang berat - MB

KOTA BHARU, 13 (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan memandang berat kes-kes berkaitan pecah amanah penjawat awam sehingga boleh mengganggu kelancaran jentera pentadbiran kerajaan. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil contoh kes kehilangan wang zakat, wang pendeposit di Tabung Haji adalah mendedahkan sikap tidak amanah penjawat awam.

"Amalan negetif termasuk meniru tandatangan, menyembunyikan fail-fail, tidak masukkan kutipan cukai ke dalam bank mengikut masa ditetapkan, tidak keluarkan resit, menukar dan memindahkan hak milik orang lain adalah antara tipu daya yang sering berlaku," katanya pada program pencambahan fikiran pentadbiran tanah peringkat negeri Kelantan di Bilik Gerakan negeri di sini, baru-baru ini.
Hadir sama di majlis itu, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, ketua jabatan negeri dan Pusat.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan lebih RM8 juta daripada akaun simpanan penyimpan Tabung Haji dilaporkan hilang.  Ekoran itu, polis menyoal siasat beberapa orang dalam Tabung Haji mengenai kes berkenaan. Menteri Besar juga berkata, setiap pihak perlu mendalami polisi berkaitan dasar pentadbiran tanah supaya ia boleh dihayati dan dikuatkuasakan dengan penuh bijaksana.
Menurutnya, beliau sering mendengar ada kes-kes kecuaian pihak pentadbir tanah sehingga berlaku protes dan bantahan orang ramai.

"Masalah yang sering timbul termasuk tidak tepat penilaian harga dalam kes-kes pengambilan balik tanah.
"Ada juga kita dengar pembayaran pampasan yang lewat diterima, kelewatan juga berlaku dalam penyediaan laporan untuk kegunaan jabatan lain. "Masalah kelulusan permohonan tanah berlaku kerana lembabnya pentadbiran tanah di pejabat-pejabat tanah," katanya.

Selain itu, terdapat banyak keadaan di mana satu-satu kawasan yang diluluskan kerajaan negeri kepada kepada pelabur sering mengalami masalah untuk dimajukan.  Malah, ada projek yang mempunyai tahap daya maju yang tinggi tergendala dengan masalah penerokaan secara haram.

"Saya tidak nampak cara lain untuk mengatasi perkara itu selain tindakan penguatkuasaan," katanya.
Menurutnya, dasar kerajaan negeri mengenai perkara itu adalah jelas. Beliau berkata, pihak penguatkuasa boleh mendapatkan bantuan polis untuk mengambil tindakan ke atas pihak terbabit kerana ia boleh membantut perancangan kerajaan negeri.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama bagi meluluskan tanah untuk kegunaan projek-projek kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak faham biar pun kerjasama diberi, namun masih ada pihak yang mendakwa kerajaan negeri enggan berkerjasama dalam proses pengambilan alih tanah untuk projek pembinaan sekolah, klinik dan hospital.
"Sedangkan kerajaan negeri tahu projek mesra rakyat seperti itu amat penting untuk diberi perhatian," ujarnya.

Pada majlis yang sama beliau memberitahu kerajaan negeri mewujudkan skim pemberian tanah kepada rakyat miskin yang masih tidak mempunyai tanah.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri mewujudkan blok ketua jajahan, rancangan belia berkelompok dan ladang rakyat bagi tujuan itu. 

"Oleh itu, saya berharap skim berkenaan dikendalikan dengan cermat supaya dapat memberi faedah kepada rakyat yang benar-benar tidak bertanah.  "Jangan dibenarkan wujud sindiket merampas hak-hak yang diperuntukan untuk golongan miskin," kata beliau.
Mengenai punggutan cukai tanah Menteri Besar berkata, beliau diberi makluman ada tanda-tanda peningkatan dalam rekod terakhir baki cukai semasa dan baki tertunggak.

"Walau pun begitu tunggakan baki kedua-duanya masih lagi berjumlah RM8.7 juta dan ia masih lagi menunjukkan angka yang tinggi," katanya.
Beliau berkata, wang sejumlah itu kalau dapat dipunggut sepenuhnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan.