MB Kelantan tokoh disegani - MP Thailand

YALA (Selatan Thailand), 13 Nov - Kehadiran Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dianggap membawa rahmat kepada penduduk di Selatan Thailand bagi mengembangkan lagi syiar Islam.

Anggota Parlimen (MP) Wilayah Yala, Paisal Yingsaman berkata, Menteri Besar Kelantan seorang tokoh yang disegani kerana mempunyai akhlak dan kelakuan terpuji.

"Saya begitu gembira dengan kedatangan Menteri Besar Kelantan ke Wilayah Yala, terutamanya ke rumah saya pagi ini, sehingga bulu roma saya tegak berdiri. "Kedatangan tokoh ini mengangkat martabat jasmani dan rohani sebagai kehendak utama untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah," katanya ketika meraikan kedatangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan rombongannya ke rumahnya, 10 November lalu.

Pada kunjungan itu, rombongan dari Kelantan diraikan dengan jamuan makan pagi oleh Paisal. Beliau juga menyampaikan salam daripada Menteri Pengangkutan Thailand, Wan Mohd Nor Matha yang tidak dapat hadir.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri Thailand bagi lima wilayah selatan, Banjaat Lansirat, Gabenor Yala, Kitti Kittichokwatana dan Timbalan Ketua Polis Yala, Mejar General Prajak Musikasukont. 
Menteri Besar Kelantan berada di Yala bagi merasmikan ijtimak dakwah serantau yang dikendalikan bersama Majlis Agama Islam Yala, Perkim Bahagian Kelantan dan badan-badan dakwah di wilayah selatan Thailand.

Paisal berkata, kedatangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz membawa seri kepada rumahnya kerana terdapat ciri-ciri kewarakan yang ada pada diri tokoh berkenaan. Katanya, apabila kita berjaya meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, maka perkara-perkara lain dalam kehidupan seharian dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Anggota Exco kerajaan Kelantan, Ustaz Hassan Muhamad berharap hubungan yang sedia terjalin di antara Kelantan dan wilayah di sempadan Thailand dapat dipertingkatkan lagi.

"Melalui program ini Insya Allah akan dapat mendekatkan lagi hubungan di antara dua negeri yang berjiran," katanya.
Menurutnya, ijtimak dakwah serantau yang diadakan di wilayah Selatan Thailand merupakan yang ketiga, di mana sebelum ini pernah diadakan di Taba' dan Sungai Golok.

Katanya, kejayaan ijtimak tersebut sudah terbukti apabila peserta-peserta daripada Perkim mendapat pendedahan mengenai ilmu masakan melalui beberapa kursus yang diadakan di sini.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Dalam Negeri Thailand bagi lima wilayah selatan berkata, beliau bercita-cita untuk melawat wilayah-wilayah bersempadan di Malaysia.

Katanya, beliau bercadang untuk ke Kelantan dan berjumpa dengan pemimpin di negeri berkenaan.
Beliau juga berharap hubungan yang sedia terjalin di antara Kelantan dan Yala dapat dipertingkatkan lagi.
Pada majlis itu beliau turut gembira kerana pemimpin dan rakyat Yala dapat menyambut kedatangan Menteri Besar Kelantan dengan penuh mesra