40,000 penduduk Thailand ikuti ijtimak dakwah

YALA (Selatan Thailand), 13 Nov  - Lebih 40,000 penduduk Islam dari empat wilayah di Selatan Thailand hadir pada perasmian ijtimak dakwah serantau oleh Menteri Besar Kelantan, malam 9 November lalu.

Masjid Besar Yala, setinggi tiga tingkat iaitu tempat berlangsung ijtimak penuh sesak dengan kehadiran orang ramai.
Malah, ramai lagi terpaksa berdiri di tepi-tepi jalan di kawasan sekitar masjid, memandangkan ruang dalam masjid penuh sesak.

Penduduk tempatan memenuhi jalan raya sejak awal malam lagi bagi mengikuti majlis perasmian tersebut. Kedai-kedai makan dan gerai milik peniaga muslim kelihatan dipenuhi orang ramai yang berkopiah, berjubah dan serban.
Setiap kenderaan terutamanya jenis van yang melalui kawasan itu dipenuhi penumpang di bahagian belakangnya.

Ijtimak selama tiga hari itu turut dihadiri saudara-saudara baru dari Kelantan dan negeri-negeri lain di Malaysia.
Turut hadir, anggota-anggota Exco kerajaan Kelantan, Ustaz Mohamed Daud dan Ustaz Hassan Muhamad serta Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Kelantan, Haji Ghazali Abdul Rahman. Ijtimak itu dikendalikan Majlis Agama Islam Yala dengan kerjasama Perkim Bahagian Kelantan dan persatuan saudara baru di Selatan Thailand.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Yala, Haji Ismail Hari berkata, beliau bagaikan bermimpi apabila melihat begitu ramai penduduk tempatan hadir pada majlis perasmian tersebut. Katanya, puluhan ribu penduduk hadir termasuk mereka yang datang dari jauh bagi mengikuti ucapan seorang tokoh ulamak tersohor di rantau ini.
 
"Kita harapkan ijtimak ini dapat mengeratkan hubungan persaudaraan di antara penduduk Islam di Selatan Thailan dan Kelantan," katanya.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika merasmikan ijtimak tersebut berkata,  Islam diturunkan bukan untuk bangsa Melayu sahaja, malah ia menjadi milik semua kaum. Katanya juga, Islam menggunakan cara sederhana untuk menyebarkan syiarnya dan tidak melalui kaedah paksaan. "Usaha yang dilakukan Perkim dan badan dakwah lain menganjurkan ijtimak ini adalah sesuatu yang cukup baik," katanya.

Seorang penduduk dari Nikung 3, Yala, Mohamad berkata, beliau datang dari jauh bagi mengikuti ceramah mengenai Islam oleh seorang tokoh ulamak yang cukup dikenali sekarang. Katanya, beliau terpaksa membayar tambang dengan menaiki van bagi mendengar sendiri ceramah ugama Menteri Besar Kelantan yang tidak pernah diikuti sebelum ini.
"Biarpun ada orang  memberitahu kuliah agama Tuan Guru Nik Abdul Aziz boleh diikuti beberapa stesen radio di sini, namun kedudukan rumah pak cik di pedalaman menyebabkan ia sukar diikuti secara jelas," katanya.

Abdullah Omar, 42 dari Nikung 2 berkata, beliau mendapat tahu mengenai kehadiran Menteri Besar Kelantan melalui imam masjid di kampungnya. Menurutnya, sebelum ini beliau pernah dua kali mengikuti kuliah agama yang disampaikan tokoh berkenaan.