Tidak perlu banyak institusi zakat - MB

KOTA BHARU, 13 Dis - Menteri Besar Kelantan memberitahu kerajaan tidak perlu mewujudkan lebih banyak lagi institusi bagi mengagihkan bantuan zakat kepada golongan yang layak menerimanya.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak perlu wujud banyak sangat institusi yang berperanan sama di bidang tersebut.

"Kita tidak perlu banyak sangat pinggang mangkuk bagi melaksanakan tanggungjawab itu," katanya ditemui pemberita di wad 10, Hospital Kota Bharu di sini, semalam.

Menteri Besar dirawat di hospital berkenaan sejak pagi semalam (10 Disember) bagi merehatkan badan selepas kepenatan menemui rakyat di program tadarus, berbuka dan solat tarawih di seluruh Kelantan sepanjang Ramadan ini.
Turut dirawat di wad yang sama, Adun Kelaboran, Haji Nordin Yaakub yang berada di hospital itu sejak 22 September lalu kerana menjalani rawatan buah pinggang dan penyakit kencing manis.
Bekas anggota parlimen Bachok, Ustaz Buniyamin juga turut dirawat di hospital sama sejak 6 Disember lalu kerana penyakit kencing manis.

Bagaimanapun kesihatan mereka stabil, malah Menteri Besar sempat merakamkan ucapan perutusan Hari Raya Aidil Fitri kepada media di wad berkenaan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, institusi zakat yang sedia ada perlu dipertingkatkan lagi dan bukan dengan mewujudkan badan baru.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan bercadang mewujudkan Lembaga Urusan Zakat Malaysia (Luzam) bagi menyelaras kutipan dan agihan zakat di seluruh negara.

"Urusan zakat di Kelantan dikendalikan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan fungsi badan itu boleh dipertingkatkan lagi," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, badan itu tidak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri secara langsung.

Sebelum ini, ada pihak di negeri ini bimbang cadangan kerajaan Pusat mahu mewujudkan Luzam memandangkan peranan yang dipertanggungjawab sebelum ini tidak dilaksanakan secara berkesan.

Misalnya, bayaran geran wajib kepada kerajaan negeri yang dikuasai PAS tidak dilaksanakan mengikut jadualnya.
Malah ada pihak berpendapat, penubuhan Luzam kemungkinan akan menjadi platform baru pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan kroninya pada masa akan datang.



Harakah