Fokus Bantuan Pekebun Kecil

Isi borang Umno: Syarat mohon bantuan pekebun kecil

JELI, 13 Dis  - Harapan sebahagian besar pekebun kecil di Kelantan untuk mendapat bantuan melalui skim saraan hidup bulanan yang berjumlah RM600 hingga RM1,500 setiap seorang, kini hanya menjadi impian semata-mata.

Sekiranya mereka bukan ahli Umno, duit bantuan itu usah bermimpi dinikmati, biarpun wang tersebut milik kerajaan dan bukan Umno. Skim bantuan itu menjadi modal baru bagi Umno untuk terus mengugut rakyat di negeri ini supaya menyertai parti itu secara 'paksa'.

Kegiatan mengUmnokan semua bentuk bantuan kerajaan Pusat di Kelantan sebenarnya bukan perkara baru, malah sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Syarat-syarat bagi penerimaan bantuan yang ditetapkan di Kuala Lumpur berubah apabila sampai di Kelantan kerana wang milik rakyat diheret melalui Umno dan bukannya agensi kerajaan.

Bermula dengan bantuan baja subsidi padi sejak 1991, kini merebak pula kepada skim saraan pekebun kecil getah.
Pengesahan dan tandatangan Ketua Cawangan Umno dan Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) merupakan elemen penting ketika pemohon mengisi borang bantuan.

Umno 'bermaharajalela' melakukan apa sahaja dengan bantuan berkenaan termasuk menghulur kepada orang yang tidak layak dan rakyat negara jiran asalkan mereka setia menyokong Umno.

"Kalau setakat hendak baja pokok getah boleh ambil, tetapi kalau mahu bantuan skim saraan pekebun kecil nanti dulu... syarat utama mesti isi borang Umno," kata seorang pekebun kecil, Mohamad Yaakub, 64 yang mengulangi kembali kata-kata yang diucapkan seorang kakitangan agensi kerajaan ketika beliau menemuinya, sebelum bulan Ramadan.

Beliau yang memiliki enam ekar kebun getah ketika ditemui di Kampung Air Canal, baru-baru ini mendakwa, kakitangan di Pejabat Kesedar memberitahu sekiranya permohonan bantuan hendak dibuat, syarat utama perlu mengisi borang Umno.
Menurutnya, beliau pergi ke pejabat berkenaan untuk memohon bantuan saraan hidup seperti yang diterima penyokong Umno di Air Canal.

"Ketika kali pertama datang, kakitangan pejabat itu kata tidak ada borang. Beberapa hari selepas itu pak cik pergi semula kerana setiap pekebun yang hendak dapatkan bantuan diminta hadir.
"Ketika itu ramai orang berkumpul di pejabat peladang dan ceramah politik yang menghentam PAS dan kerajaan negeri oleh seorang yang tidak dikenali juga diadakan.
"Pada masa itu pak cik juga lihat ramai pekebun diminta mengisi borang Umno sebelum borang bantuan sebenar diisi," katanya.
Menurutnya, biarpun sudah lama mengisi borang tersebut, namun duit yang dijanjikan belum lagi diterima.
"Saya malu hendak pergi ke pejabat Kesedar untuk bertanyakan bantuan tersebut," katanya.

Beliau juga memberitahu pekebun kecil yang baru mengisi borang Umno diletak di bawah pengawasan selama dua tahun untuk memastikan ketulenan mereka menyertai parti itu. 

Jaafar Awang, 58 juga pekebun kecil di Air Canal mendakwa syarat penting untuk mendapatkan bantuan sara hidup perlu terlebih dahulu mengisi borang Umno.

Katanya, beliau diamanah oleh pihak pengurusan agensi kerajaan terbabit untuk mengumpul borang keahlian Umno dan diserahkan kepada pembantu Ketua Bahagian Umno Jeli, Dato' Mustafa Mohamed.

"Sebanyak 54 borang sudah saya serahkan bersama salinan kad pengenalan dan saya beritahu kepada pembantu Dato Pa, saya malu untuk meminta yuran Umno daripada mereka.
"Masalah yuran itu demo kena tolong selesaikan," katanya.
Beliau yang juga memiliki kebun getah seluas enam ekar memberitahu Ketua Bahagian Umno berkenaan dijangka hadir ke rumah selepas hari raya ini.
Menurutnya, biarpun segala syarat yang ditetapkan sudah dipenuhi, namun sehingga sekarang beliau belum mendapat bantuan yang dijanjikan.

Ariffin Yaakub, 48 yang mempunyai 12 orang anak tidak lagi mengharapkan bantuan tersebut kerana cuba dipermainkan kakitangan agensi terbabit ketika datang ke Kesedar untuk memohon borang bantuan.
Katanya, ketika pertama lagi datang, kakitangan terbabit memberitahu borang tidak ada, kemudian pergi kali kedua, dia buat tidak layan.

"Saya hanya diberi empat beg baja getah dan sekarang wang bantuan itu tidak diharapkan kerana mereka (Kesedar) tahu saya bukan penyokong Umno," katanya yang berpendapatan kira-kira RM400 sebulan dengan menoreh getah.

Mohd Fauzi Deraman, 49 berkata, beliau langsung tidak mahu ke pejabat Kesedar apabila diberitahu syarat utama mendapat bantuan pekebun kecil mesti mengisi borang Umno.

Katanya, bantuan yang sepatutnya diberi kepada rakyat miskin kini sudah menjadi isu politik untuk menarik sokongan rakyat terhadap Umno.

"Ketika saya pergi ke pejabat Kesedar untuk mengisi borang bantuan, sebanyak tiga borang dihulurkan untuk diisi. Apa yang pasti hanya satu borang sahaja berkaitan bantuan pekebun kecil dan dua lagi saya tidak ingat," kata Che Zainab Mohd Nor, 43.

Menurutnya, beliau mendengar cerita orang Umno yang mendapat bantuan tersebut menerima antara RM600 hingga RM1,500 setiap seorang iaitu bergantung kepada bilangan anak.

Suaminya, Mat Yusof Salleh, 45 mendakwa, orang yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan Kesedar mendapat bantuan tersebut biarpun mereka tidak layak menerimanya.
Katanya, penduduk berkenaan mempunyai menantu bekerja dengan agensi berkenaan dan seorang lagi orang kanan kepada Dato' Pa.

"Saya tidak terkilan sekiranya bantuan itu mahu dihulurkan kepada penyokong Umno asalkan mereka juga miskin.
"Namun apa yang berlaku sekarang peniaga kedai runcit juga mendapat bantuan. Di mana keadilan yang dilaungkan kerajaan selama ini," dakwa beliau.

Beliau juga mendakwa mereka yang tidak mempunyai kebun getah dan berasal dari negara jiran turut mendapat bantuan berkenaan kerana mempunyai hubungan rapat dengan Umno.

Adun Ayer Lanas, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, Umno sanggup melakukan apa sahaja bagi menggambarkan parti itu semakin mendapat sokongan rakyat, biarpun dengan cara memaksa.
Katanya, rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan tetap berada di tahap lama kerana hak mereka cuba dinafikan pemimpin Umno di negeri ini.

"Apa yang dilakukan Umno sejak dahulu hingga sekarang tidak mungkin mampu menarik sokongan rakyat kerana mereka sedar sandiwara yang dimainkan pemimpin parti itu," ujarnya
.  

 

Harakah