Timbalan Ketua Polis Negara akui Kelantan selamat
KOTA BHARU, 13 Dis - Timbalan Ketua
Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari mengakui negeri ini berada dalam keadaan
baik dan selamat.
Bahkan menurutnya, kedudukan jenayah di Kelantan di tempat ketiga terendah
berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara.
"Terima kasih di atas perhatian dan kerja keras tuan-tuan selama ini
termasuk agensi kerajaan dan sebagainya bagi mewujudkan suasana itu,"
ujarnya pada majlis penyampaian saguhati kepada bekas polis yang berkhidmat
semasa darurat (1948-1962) di sebuah hotel di sini, 8 Disember.
Tan Sri Jamil berkata, tanpa kerjasama semua pihak, masalah jenayah sudah
tentu tidak dapat dibendung.
Bagaimanapun, menurutnya Kelantan menduduki tempat ke lima dalam masalah
berkaitan dadah.
Oleh itu, beliau mahu semua pihak bekerja keras dari semasa ke semasa agar
masalah itu dapat diatasi.
"Pihak polis termasuk pesara hendaklah pandai memenangi hati masyarakat agar
kerjasama yang lebih erat antara kedua belah pihak terjalin.
"Bila berlaku masalah, Insya Allah ia akan dapat diselesaikan dengan baik,"
ujarnya.
Pada majlis itu seramai 102 pesara polis termasuk balu mereka menerima
saguhati dari Mohd Jamil.
Timbalan Ketua Polis Negara itu juga turut mengambil kesempatan beramah
mesra dengan pesara berkenaan dengan menyampaikan sumbangan tersebut dari
meja ke meja.
Turut hadir pada majlis itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia,
Senator Dato' Mansur Haji Mohd Jaafar, Pengerusi Persatuan Bekas Polis
Malaysia Cawangan Kelantan, Haji Daud Ismail.
Haji Daud pula berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu kerajaan dalam
menangani masalah sosial termasuk dadah.
Menurutnya, ia menjadi tanggungjawab mereka untuk memantau keadaan tersebut
bagi menjamin keselamatan negeri walau pun sudah bersara daripada
perkhidmatan kerajaan.
Harakah
|