Kelantan sedia terima pandangan anak perantau

KOTA BHARU, 13 Dis  -  Kerajaan negeri meneruskan tradisi dengan mengadakan dialog khas bagi mendapat pelbagai pandangan daripada anak-anak perantau sempena Hari Raya Aidil Fitri ini.

Program dialog itu yang dijangka dihadiri Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan akan diadakan di Dewan Bunga Tanjung Hotel Perdana pada malam 2 Syawal 1422.

Bagaimanapun difahamkan pada malam berikutnya sebuah badan korporat yang mendapat manfaat projek daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) juga dikatakan akan mengadakan majlis perjumpaan di hotel yang sama.
Namun, program itu tidak berupa dialog, sebaliknya hanya mendengar ceramah pemimpin-pemimpin Umno yang dijangka hadir.

Dialog Anak Perantau tajaan kerajaan negeri diadakan bermula jam 8 malam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan Dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Abdullah Ya'kub berkata, selain berpeluang mendapat penjelasan berhubung perkembangan terbaru mengenai kerajaan negeri, anak perantau juga boleh mengemukakan pelbagai cadangan.

Sehubungan itu, beliau meminta anak Kelantan di perantauan mendapatkan kad percuma di Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan (09-7481957 samb: 5006) atau Hotel Perdana untuk membolehkan hadir pada perjumpaan itu.

"Kita hanya menyediakan tempat untuk 800 peserta sahaja, jadi hanya mereka yang mempunyai kad jemputan sahaja dibenarkan masuk," ujarnya.

Beliau juga berkata, sempena majlis itu, Hotel Perdana turut menawarkan potongan sewa bilik untuk anak-anak Kelantan di perantauan yang mahu menginap dengan harga RM80 sahaja.

Sempena majlis itu juga akan diadakan kutipan derma Tabung Afghanistan dan Tabung Ihsan Perdana.




Harakah