Tarawih: Banyak masjid guna khidmat hafiz

KOTA BHARU, 13 Dis - Umat Islam di negeri ini diminta membantu kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat bagi melahirkan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam menjelang 2005.

Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya Nilam Puri, Dr Fauzi Abdul Rahman berkata, usaha ke arah itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.

"Oleh itu bagi menjayakan hasrat tersebut masyarakat hendaklah kembali kepada ajaran Islam.
"Nasihat-menasihati adalah tuntutan Islam. Bagaimanapun sayang sekali, bila amalan ini dilakukan, ia pula dikatanya orang 'suka jaga tepi kain orang," ujarnya pada forum perdana, anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di dataran tersebut, baru-baru ini.

Dua panel lagi dijemput menjayakan forum yang bertemakan Peristiwa-peristiwa Agung di Bulan Ramadan, iaitu, Pengetua Madrasah Al-Quran Pasir Pekan, Ustaz Saari Mustapha dan Ustaz Mohd Rosli Hussin, guru di Sekolah Menengah Agama (Arab), Khairiah, Melor.

Ustaz Rosli pula melahirkan rasa syukur kerana masjid di negeri ini, khususnya di bandar Kota Bharu menggunakan khidmat kalangan pelajar dan bekas pelajar hafiz untuk menjadi imam tarawih di sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, ia mencetuskan suasana yang amat baik dalam usaha untuk meningkatkan syiar Islam di negeri ini.
"Kalau dahulu kita hanya mengikuti imam-imam yang hanya membaca surah-surah pendek sahaja, namun sekarang Alhamdulillah, para hafiz sendiri telah mengimamkan solat berkenaan," ujarnya.



Harakah