Kelantan raya Aidil Fitri bersama remaja

KOTA BHARU, 13 Dis - Kerajaan Kelantan mencetus suasana kelainan pada perayaan Aidil Fitri tahun ini apabila mengadakan sambutan Hari Raya Bersama Remaja.

Sambutan itu akan diadakan pada 29 Disember ini, di Dataran MPKB bakal diisi dengan pelbagai program menarik termasuk ceramah motivasi oleh Dato' Dr Hassan Ali, lawak jenaka dan permainan tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, program tersebut diadakan bagi mendekatkan hubungan di antara remaja dan kerajaan negeri.

"Kita akan memastikan golongan remaja terasa mereka juga diberi perhatian dan menghindarkan terjebak dengan kancah negetif," katanya di sini.

Acara sambutan itu akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang terbuka kepada semua golongan remaja yang berumur 12 hingga 40 tahun.

Ustaz Abdullah berkata, remaja daripada seluruh jajahan boleh hadir menyertai program yang disusun khas untuk mereka.
Menurutnya, program itu merupakan julung kali diadakan dan boleh dipertimbang untuk dijadikan acara tahunan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ustaz Abdullah mahu golongan peniaga di negeri ini tidak mengambil kesempatan menaikkan harga jualan sempena musim perayaan sekarang.
Katanya, peniaga jangan hanya lebih memetingkan keuntungan semata-mata kerana ia akan mendatangkan kesan pada jangka masa panjang.

"Pembeli terutamanya di kalangan pelancong yang sudah terasa mereka ditipu tentunya tidak datang buat kali kedua.
"Akibat sikap berdegil segelintir peniaga menyebabkan peniaga lain turut menerima risiko, tidak sepatutnya berlaku lagi, terutamanya menjelang hari lembaran sekarang," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, hasil tinjauan di pasar-pasar, harga barangan keperluan harian masih kekal di tahap biasa.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa menjalankan kerjasama dengan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan harga barang keperluan di Kelantan terkawal.

Pusat bandar Kota Bharu kini menjadi begitu sibuk, di mana orang ramai keluar membeli belah keperluan menyambut hari lebaran.
Jalan-jalan utama ke pusat bandar juga sudah penuh sesak dengan kebanjiran kenderaan yang bertali arus. Keadaan dijangka bertambah sesak apabila anak-anak perantau kembali ke kampung halaman masing-masing.

Pasar Besar Siti Khadijah, Arked MPKB, Bazar Buluh Kubu dan pusat membeli belah menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan keperluan menyambut lebaran.



Harakah