Pasukan keselamatan terima kueh raya

KOTA BHARU, 13 Dis  - Pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan dan keamanan negara menerima bungkusan kueh Hari Raya Aidil Fitri daripada kerajaan Kelantan sempena hari lebaran ini.

Penyampaian sumbangan Hari Raya itu dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Mohamed Daud sebagai mewakili Menteri Besar yang tidak dapat hadir.

Anggota keselamatan yang hadir pada majlis itu termasuk daripada Tentera Diraja Malaysia, tentera darat, laut, udara dan pasukan polis pelbagai unit.

Majlis penyerahan bungkusan raya tersebut dilakukan di Bilik Gerakan Negeri di Kota Darulnaim, petang 12 Disember.

Kerajaan negeri mengucap selamat meneruskan ibadat puasa dan menyambut hari lembaran biarpun di mana sahaja anggota keselamatan bertugas.

Katanya, kerajaan negeri prihatin terhadap tanggungjawab yang dipikul mereka kerana terpaksa bertugas ketika umat Islam di seluruh negara sedang merayakan hari lebaran.

"Kita cukup bersimpati terhadap mereka kerana terpaksa bertugas di perbatasan ketika orang lain sibuk merayakan Hari Raya," katanya pada majlis itu.

Menurutnya, orang Islam bergembira di Hari Raya kerana mereka dapat menyempurnakan ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, mereka dapat melawan hawa nafsu bagi menyempurnakan ibadat puasa.

Bagaimanapun beliau berkata, kedatangan Syawal disambut gembira sesetengah golongan lain, kerana mereka sudah terlepas daripada menjalani ibadat puasa.

Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan raya itu, anggota-anggota Exco, pegawai kanan kerajaaan negeri dan pegawai daripada pelbagai unit pasukan keselamatan.      




Harakah