Musuh Islam mula misi penjajahan baru

KOTA BHARU, 13 Dis  - Musuh-musuh Islam kini terpaksa mengerah semula tenaga dan usaha untuk melemahkan kebangkitan Islam melalui peperangan fizikal dan pemikiran.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mereka cuba meneruskan dasar penjajahan baru terhadap negara yang cuba melaksanakan tuntutan Islam.

"Ini terbukti dalam kes terbaru apabila Amerika menyerang kerajaan Taliban di Afghanistan.
"Dan terdapat juga tanda-tanda pada masa akan datang beberapa negara Islam lain akan menjadi mangsa dan sasaran mereka," katanya pada perjumpaan dengan imam-imam, penghulu dan kakitangan Unit Dakwah Halaqat di Balai Islam di sini, 12 Disember.

Penghulu dan kakitangan Halaqat dari seluruh Kelantan hadir pada program tersebut yang turut dihadiri anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan negeri dan pemimpin masyarakat.

Menteri Besar berkata, tindakan Amerika menyerang umat Islam di Afghanistan kononnya untuk memerangi pengganas tidak lebih sebagai alasan semata-mata.

"Sedangkan golongan Yahudi yang mengganas dan membunuh di Palestin serta Semenanjung Gaza sejak berpuluh-puluh tahun tidak pula diserang.

"Mengapa pihak yang terang-terang ganas tidak diambil tindakan, sedangkan pihak yang hanya sekadar disyaki telah diserang begitu rupa.

"Ini menunjukkan bahawa tindakan mereka dilakukan berasaskan agenda yang nyata untuk melemah dan melenyapkan Islam dari muka bumi ini," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, suasana yang berlaku dalam negara juga tidak kurang hebatnya kebelakangan ini, di mana pihak kerajaan (Barisan Nasional) menggunakan gas kimia dan penjara untuk berdepan dengan mereka yang mahu membela Islam.

Katanya, kerajaan Malaysia menggunakan kaedah itu dengan alasan kononnya untuk mengekang keganasan dan menjaga keselamatan negara.

"Mana-mana golongan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam dianggap boleh mengacam keselamatan negara. Jadi golongan itu perlu ditegah dan disingkirkan daripada masyarakat," katanya.

Menurutnya, sedangkan dalam masa yang sama kegiatan merosakkan pemikiran dan kefahaman rakyat mengenai Islam terus diperhebatkan oleh golongan berkenaan.

Katanya, rakyat dikongkong melalui pelbagai peraturan dan undang-undang termasuk akujanji, Akta Polis, ISA dan banyak lagi dibuat atas alasan keselamatan negara. Sedangkan kata beliau rakyat tahu apa yang dilakukan PAS tidak pernah mengancam keselamatan negara.

"Malah apa yang kita lakukan adalah aktiviti yang boleh menambahkan lagi kekuatan negara berasaskan ajaran Islam seperti yang dilakukan di Kelantan dengan mengharamkan judi, menutup kelab malam dan pusat hiburan serta menggalakkan rakyat bersembahyang. "Adakah semua kegiatan seperti ini mengancam keselamatan negara," tambahnya.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan pemerintah itu semata-mata menghalang usaha untuk memartabatkan Islam.
Oleh itu, mereka mencari jalan dengan tergesa-gesa mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam bagi mengelirukan pemikiran rakyat.

Menurutnya, biarpun pengisytiharan itu sudah dibuat, namun pemimpin parti berkenaan dilarang membincang isu berkenaan biarpun sesama mereka.

"Apa yang dilakukan itu boleh kita samakan dengan tindakan Presiden Amerika menjemput duta-duta negara Islam berbuka puasa di Rumah Putih bagi menutup kekejamannya membunuh umat Islam di Afghanistan," katanya.

Beliau juga berkata, isu kemiskinan Kelantan yang cuba diungkit semula pemimpin Umno semata-mata bagi menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan PAS.
Sedangkan katanya, kemiskinan berterusan berlaku disebabkan sifat tidak jujur pemimpin Umno mengagihkan bantuan kepada rakyat melalui peruntukan kerajaan.

Kata beliau, adalah memalu dan menjijikkan apabila pegawai kerajaan dan pemimpin politik yang diberi amanah, menyeleweng wang bantuan rakyat miskin untuk kepentingan peribadi.

Oleh itu, beliau berharap imam, penghulu dan kakitangan Halaqat dapat memahami sepak teranjang politik untuk menjelaskan isu sebenar kepada rakyat.

"Bagi mengenangkan jasa-jasa imam-imam, penghulu, pegawai dan pembantu Halaqat, elaun bulanan mereka dinaikkan antara 20 hingga 40 peratus," katanya.

Menurutnya, kenaikan elaun itu akan dapat menambahkan lagi kesungguhan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri awal November lalu, Menteri Besar mengumumkan elaun penghulu dinaikkan sebanyak RM100 daripada RM300 yang diterima sebelum ini. Kenaikan elaun itu dijangka dibayar bermula Januari ini.    
    




Harakah