850 pesakit terima hadiah raya PAS Kelantan

KOTA BHARU, 13 Dis  - Kira-kira 850 pesakit yang dirawat di Hospital Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian bernasib baik apabila mereka menerima hadiah sempena Hari Raya Aidil Fitri ini. Selain itu, 150 orang penghuni Taman Kenangan Pengkalan Chepa turut menerima hadiah yang sama yang disumbangkan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan.

Hadiah berupa hamper itu disediakan  PAS Kelantan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM20,000.
Jumlah wang yang begitu besar itu adalah hasil sumbangan orang ramai pada setiap kuliah mingguan Menteri Besar di Dewan Zulkefli Mohamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, sepanjang tahun. MPKB turut menyumbang peruntukan sebanyak RM 5000 untuk tujuan tersebut.

Semalam, hadiah Hari Raya tersebut disampaikan kepada pesakit-pesakit yang disempurnakan anggota Exco, Ustaz Ahmad Yakub di Hospital Kota Bharu.

Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah tersebut yang diadakan di wad, Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakhri Harun dan Setiausaha Sulit Menteri Besar, Nik Azlan Abdul Hadi.

Serahan hadiah tersebut dilakukan di wad-wad yang turut ditemani Pengarah Hospital Kota Bharu, Dr Marry dan pegawai-pegawai kanannya. 

Menteri Besar tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana sedang dirawat di wad hospital yang sama.

Manakala pada hari ini, majlis penyampaian hadiah raya juga akan diadakan di Hospital USM Kubang Kerian yang dijangka dilakukan isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.


 
 

        




Harakah