Mangsa kebakaran terima bantuan Serambi Mekah

JELI, 13 Dis - Mangsa kebakaran di Kampung Sungai Renyut dekat sini, dua hari lepas menerima bantuan segera daripada kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Mekah.

Bantuan sebanyak RM1,000 dihulur kepada keluarga mangsa kebakaran itu oleh Adun Pergau, Ustaz Abdul Razak @ Mamat Abdullah sehari selepas kejadian.

Pada kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, anak mangsa Amirul Aras Farhan, tiga tahun turut rentung.
Ketika itu, Amirul dikatakan sedang tidur di sebuah bilik seorang diri tidak dapat diselamatkan kerana api sedang marak.
Ibunya, Rofiah Che Amat, 31 hanya tergaman selepas jeritan Amirul dari dalam rumah senyap ketika api marak membakar.
Ketika kejadian suaminya, Ramli Mat, 38 tidak ada di rumah kerana sedang bekerja.
Empat lagi anak Ramli bersama ibu mertuanya, Saudah Abdullah, 65 sempat menyelamatkan diri.

Ustaz Abdul Razak berkata, beliau bergegas ke tempat kejadian ketika api masih lagi marak memandangkan rumahnya berada tidak jauh dari tempat tersebut.

Katanya, penduduk tidak dapat menyelamatkan anak mangsa kerana api sedang marak dan merebak dengan pantas.
"Saya mendapatkan bantuan segera daripada Tabung Serambi Mekah, pihak Ketua Jajahan Jeli meluluskan dan diserahkan kepada mangsa semalam," katanya di sini.
Anggota Exco, Ustaz Abdullah Ya'kob juga turut melawat keluarga mangsa.
 


 

Harakah