Ku Li terdesak tuduh kerajaan negeri gadai tanah  

KOTA BHARU, 14 Feb - Bekas Presiden Semangat 46 yang membubarkan sendiri partinya, Tengku Razaleigh Hamzah kini dianggap begitu terdesak apabila cuba mengelirukan rakyat dengan fakta yang tidak jelas.

Penyelia Dun Galas, Che Hashim Sulaima berkata, kenyataan Ku Li kononnya kerajaan negeri menggadaikan berpuluh ribu hektar tanah di hulu Kelantan bagi meningkatkan punca hasil, cukup mengelirukan. Katanya, Ku Li cuba menyembunyikan fakta sebenar selepas dia sendiri gagal memanfaatkan tanah bagi kepentingan umum, ketika masih bersama dengan kerajaan negeri suatu ketika dahulu.

"Kini setelah Ku Li hilang segala-gala, dia cuba membangkitkan kononnya kerajaan negeri menggadaikan kawasan itu. Sedangkan apa yang dilakukan kerajaan negeri bagi memanfaatkan sepenuhnya tanah untuk kepentingan rakyat," katanya.

Sebuah akhbar bertarikh 14 Febuari (hari ini) melaporkan, Ku Li dipetik sebagai berkata, kerajaan PAS Kelantan didakwa semakin terdesak apabila dipercayai menggadaikan berpuluh ribu hektar tanah tanah di hulu Kelantan kepada 40 syarikat bagi pembangunan ladang kelapa sawit.

Malah, anggota parlimen Gua Musang itu mendakwa, tanah yang digadai diperolehi dengan merampas tanah-tanah penduduk yang mengusahakan dengan pelbagai tanaman.

Che Hashim berkata, Ku Li cuba menyembunyikan fakta sebenar berkaitan perkara itu, selepas kerajaan negeri melalui agensinya berjaya membangunkan tanah berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui beberapa agensinya termasuk Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dengan kerjasama pihak swasta membangunkan tanah tersebut dengan mewujudkan ladang kelapa sawit.

Projek usahasama itu dijalankan di atas tanah kerajaan bagi membolehkan agensi terbabit mempunyai sumber kewangan sendiri untuk melaksanakan projek pembangunan dan pengurusannya.

Penduduk yang terbabit dengan pembangunan tanah tersebut secara sepenuh masa juga turut dibayar pampasan oleh syarikat swasta terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Masyarakat dan Industri Desa, Haji Omar Mohamad berkata, tanah-tanah yang dibangunkan di kawasan hulu Kelantan akan dimanfaatkan kepada rakyat melalui agensi-agensi kerajaan.

Katanya, pembangunan ladang kelapa sawit akan memberi sumber pendapatan sampingan kepada Yik yang mengendalikan sektor pendidikan di negeri ini.

"Begitu juga Yakin yang memberi bantuan dan pinjaman kepada pelajar, memerlukan sumber kewangan bagi menjayakan program yang dirancang.

"Adakah kita mahu melihat lebih 40,000 anak-anak yang mendapat pendidikan di Yik terbantut kerana tidak mempunyai sumber kewangannya sendiri," katanya pada majlis Wacana Penerangan Dasar-Dasar Kerajaan di sini, 14 Febuari.

Beliau juga berkata, sekiranya Yik dan Yakin dapat mencari sumber pendapatan sendiri, ia dapat menjimatkan wang kerajaan negeri untuk dimanfaatkan bagi tujuan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Hassan Muhamad juga menjelaskan projek usahasama bagi membangunkan ladang kelapa sawit di antara agensi kerajaan dan swasta dimanfaatkan untuk rakyat di negeri ini.

Che Hashim berkata, Ku Li sebenarnya sudah kehabisan modal dan idea untuk berdepan dengan PAS, sehingga menyelewengkan fakta sebenar.

"Pemimpin itu sebenarnya semakin ditolak rakyat kerana mereka kecewa sejak lebih 30 tahun menjadi anggota parlimen Gua Musang, Ku Li gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan," katanya.