Pasti turut diminati masyarakat bukan Islam

KOTA BHARU, 14 Feb  - Sistem pendidikan berteraskan Islam yang dianjurkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menyebabkan masyarakat semakin berminat menghantar anak-anak belajar di kelas pra persekolahan anjuran PAS.

Ketua Pengarah Jabatan Pasti Pusat, Azrin Abdul Majid berkata, perkembangan terkini yang berlaku membabitkan Islam secara tidak langsung membuka mata banyak pihak melihat pendidikan Islam secara lebih dekat.

"Namun proses pemasyarakatan Islam menerusi Pasti tidak melalui jalan mudah. Masyarakat sering dimomok dengan kegiatan ekstrem, militan dan ganas tanpa sebarang bukti," katanya ketika membentang kertas kerja pada Seminar Pengurusan Pasti Pusat dan Pelancaran Jemaah Ibu Bapa dan Guru serta Alumni Pasti di sini, baru-baru ini.
Guru-guru Pasti dan jemaah pengurusan dari seluruh negara hadir pada seminar dua hari itu.

Pasti ditubuh pada awal 1980-an dan diletak di bawah pentadbiran Dewan Pemuda PAS Pusat.
Kelas pendidikan pra persekolahan anjuran PAS kini turut diminati ibu bapa bukan Islam untuk menghantar anak-anak mereka.

Perkembangan yang menggalakkan itu menyebabkan setiap tahun berlaku pertambahan kelas-kelas Pasti.
Sehingga kini terdapat lebih 1,400 Pasti di seluruh negara dan bilangan itu dijangka terus bertambah.
Azrin berkata, perkembangan pesat Pasti menyebabkan ada pihak cuba melemparkan fitnah yang tidak berpijak di bumi nyata.

"Kesemua tuduhan yang dilemparkan terhadap Pasti semata-mata untuk membawa kepada satu aliran pemikiran dalam masyarakat supaya curiga dan benci terhadap sistem pendidikan berkenaan.
"Kini wujud satu aliran yang mahu bertindak terhadap perjalanan Pasti, sedangkan mereka tahu Pasti merupakan aktiviti PAS dalam bidang pendidikan yang termaktub dalam undang-undang tubuhnya," katanya.

Antara fitnah yang sering dilemparkan terhadap Pasti termasuk mengajar kanak-kanak membenci pemimpin negara, menanam sentimen politik kepartian dalam diri kanak-kanak, memperalatkan kanak-kanak merayu undi semasa pilihan raya dan tiada kurikulum khas dalam pendidikan Pasti.

Menurut beliau lagi, kita yakin dan percaya sistem pendidikan Pasti berada di landasan yang betul dan benar.
Menurutnya juga, adalah menjadi matlamat Pasti untuk mewujudkan setiap kelas pendidikan pra persekolahan itu di setiap cawangan PAS di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, guru-guru Pasti merupakan pihak yang berada di barisan hadapan bagi merealisasikan matlamat tersebut.

"Kejayaan pengurusan Pasti membuktikan PAS berupaya menangani persoalan kegawatan ekonomi, bahkan mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Oleh itu, setiap tuduhan dan kata nista yang tidak beradab terhadap guru-guru Pasti tidak sedikitpun melemahkan semangat mereka," ujarnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, dalam suasana persekitaran politik pemerintah yang sering menekan Pasti, suatu ransangan positif perlu dilakukan. Katanya, gerak kerja ke arah lebih baik perlu digembelingkan.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, forum dan bengkel perlu diadakan di kalangan tenaga penggerak Pasti untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan pra persekolahan tersebut.
Beliau juga kesal dengan tindak tanduk pihak tertentu yang sering melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada Pasti.

"Setiap tuduhan yang dibuat tidak mampu dikemukakan buktinya. "Sepatutnya mereka mengkaji dahulu dari segi kurikulumnya atau menemubual ibu bapa dan guru-guru sebelum mengeluarkan kenyataan tidak berasas di media massa," katanya.