Artis jadi tarikan Puteri Umno 

KOTA BHARU, -  Anggota Dewan Negara, Senator Zailah Mohd Yusof berharap golongan muslimat di negeri ini bersedia mengorbankan wang dan masa mereka untuk membantu umat Islam di Sarawak.

Katanya, bantuan itu perlu memandangkan penduduk di Sarawak akan menghadapi pilihan raya peringkat negeri yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

"Dalam usaha menyampaikan mesej dakwah kepada umat Islam di Sarawak yang jauh ketinggalan, muslimat hendaklah berjihad seikhlas hati," katanya selepas merasmikan mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kota Bharu kali ke-13, di Ansar Inn, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, umat Islam di Sarawak bukan sahaja memerlukan sokongan dari segi kewangan atau kebendaan, sebaliknya yang lebih penting ialah kefahaman Islam.

"Saya bersetuju sangat agar golongan muslimat turut mengikut rombongan ke sana menjelang pilihan raya tersebut," ujarnya.

Ketika berucap sebelum itu, beliau meminta muslimat memperkukuhkan organisasi  dalam usaha memantapkan lagi perjuangan.

Menurutnya, penekanan di peringkat akar umbi terutamanya golongan remaja hendaklah diperkemas untuk menambahkan keahlian untuk mengimbangi Puteri Umno yang diperkenal sekarang.

Katanya, Puteri Umno diwujudkan khusus untuk menarik golongan muda menyertai parti itu, memandangkan golongan berkenaan sudah tidak berminat lagi terhadap Umno.

"Artis pula terpaksa digunakan untuk menarik minat golongan muda terhadap Umno, jadi kita berpendapat, kalau ramai yang masuk jadi Puteri Umno pun, bukan kerana Umno sebaliknya kerana artis yang mereka minati," ujarnya.


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan