MB bangga anak pernah berjihad di Afghanistan

KOTA BHARU,  Okt  - Umat Islam perlu menzahirkan penentangan dengan cara mana sekalipun terhadap kezaliman yang dilakukan Amerika dan negara Barat terhadap Afghanistan. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sokongan terhadap umat Islam di Afghanistan perlu dizahirkan.

"Kita kena tunjukkan dan saya berasa bangsa sewaktu Afghanistan diceroboh tentera Rusia sebelum ini, anak saya juga pergi berjuang, pikul senapang untuk berjihad. "Saya berasa bangga menjadi bapa kepada seorang anak yang pernah berjihad menentang kuffar Rusia. Sudah lepas tanggungjawab kerana anak saya pernah pergi berjihad," katanya pada persidangan media selepas selesai menunaikan solat hajat  memohon kepada Allah Taala diselamatkan umat Islam di Afghanistan di sini, 12 Oktober. Lebih 10,000 penduduk Kelantan menunaikan solat berkenaan di atas jalan raya dan Dewan Zulkefli Muhamad, di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau juga bersetuju sekiranya ada rakyat di negara ini turut berjihad di Afghanistan. "Tetapi terpulang kepada Wisma Putra, dia benar atau tidak. Kalau benar.. tak ada apa, kalau hendak pergi boleh pergi. "Kalau mati berjihad.. mati syahid," katanya.

Menurutnya, seruan jihad bagi orang mukmin yang beriman dengan Allah dan Rasul tentunya tidak akan ragu-ragu lagi.
Katanya, umat Islam juga boleh berjihad dalam pelbagai bentuk termasuk harta benda atau jiwa raga.

"Jihad ini adalah suatu perkataan dalam al Quran yang diajar, kalau tidak ada perang.. kita diajar macam mana hendak jaga negara.  "Amerika ada jihad cara dia, ada senjata biar pun negara demokrasi, begitu juga Malaysia sebagai negara demontrasi tetapi ada senjata dan askar. Ini bukan bererti kita hendak mengganas," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, umat Islam perlu ada kerajaan Islam yang dilengkapi dengan askar dan segala senjata bagi menjaga kehormatan negara.

Ditanyai ribuan penduduk Kelantan datang menunaikan solat hajat beliau berkata, mereka tanpa mengira parti, agama datang untuk melahirkan simpati terhadap penduduk di Afghanistan. Katanya, bagi penduduk bukan Islam, mereka perlu melahirkan rasa simpati dan marah terhadap kekejaman kuasa-kuasa besar Eropah dan Amerika.

Peranan OIC

Ketika ditanyai mengenai peranan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) menghadapi kekejaman Amerika terhadap Afghanistan sekarang, Menteri Besar berkata, OIC tidak berdasarkan kepada Islam dan hanya bersandar kepada bangsa Arab.   "Ini semangat yang telah menimpa sebagai satu azab daripada Allah kepada manusia menyebabkan sampai hari ini orang Islam tidak boleh bersatu.

"Kita telah menelan benih yang ditabur oleh Yahudi, orang Yahudi mengajar  untuk bermegah dengan bangsa Yahudi. Begitu juga orang Mesir bermegah dengan Firaunnya.  "Ini satu racun yang dimasuk oleh Yahudi melalui media massa dia," katanya.

Menurutnya juga, pemimpin negara sekarang mendapat pendidikan dari universiti di Eropah yang menyemai benih racun terhadap Islam.  Katanya, orang seperti itu apabila balik dan menjadi pemimpin, pastinya akan menabur pemikiran yang diterima dari universiti di negara Barat. "Hendak menghabiskan puak ini tentunya akan memakan masa, bagaimanapun kebangkitan Islam sekarang boleh menghapus ruang benih-benih yang ditabur oleh Barat. Insya Allah akan naik semangat Islam," katanya.

Mengenai kutipan derma jihad untuk umat Islam di Afhanistan yang dilancarkan, beliau berkata, derma yang dipungut akan diberi kepada rakyat Afghan. Beliau berkata, PAS menggerakkan cawangan dan kawasan untuk memungut derma sejak dua minggu lalu untuk membantu umat Islam yang ditimpa malang di Afghanistan.