Persatuan imam cadang saman akhbar harian


KOTA BHARU, 15 Feb - Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa akhbar harian yang menyiarkan laporan sehingga menjejaskan nama baik persatuan itu.

Pengerusinya, Haji Yusof Dollah berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan segera terhadap akhbar-akhbar terbabit yang mengaitkan nama imam dalam satu insiden di Kubang Kerian, tahun lalu.
"Sedangkan orang terbabit dengan peristiwa itu sebenarnya bukan imam," katanya kesal," katanya.

Sebelum ini, beberapa akhbar tempatan menyiarkan laporan kononnya seorang imam di Kubang Kerian bersama isterinya memukul seorang penduduk kampung.

Yusof berkata, orang dimaksudkan dalam laporan akhbar berkenaan bukan imam dan tidak pernah dilantik menjawat jawatan tersebut.

"Kami sudah menghantar surat bantahan kepada akhbar-akhbar berkenaan supaya membetulkan kesilapan yang berlaku dan menuntut maaf.

"Bagaimanapun sehingga kini akhbar-akhbar terbabit tidak membetulkan laporan tersebut, dan kami sedang berunding dengan peguam untuk mengambil tindakan lanjut terhadap akhbar berkenaan," katanya.

Menurut beliau, tindakan undang-undang terpaksa diambil kerana laporan akhbar sebelum ini mengenai peristiwa itu telah menjejaskan nama baik persatuannya.

Yusof juga kesal dengan wartawan yang membuat laporan itu kerana tidak mendapat maklumat lanjut daripada persatuan sebelum menyiarkan berita berkenaan.