Pejabat Peguam Negara lulus draf pindaan

KOTA BHARU, - Pejabat Peguam Negara telah menyemak dan meluluskan draf cadangan pindaan perlembagaan negeri Kelantan selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Haji Takiyuddin Hassan berkata, Pejabat Peguam Negara telah menghantar semula draf berkenaan kepada kerajaan negeri dengan sedikit pindaan terhadap draf asal yang dihantar kerajaan negeri.

"Bagaimana pun draf berkenaan belum diserah lagi kepada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Jalalddin Hussin kerana beliau sedang berkursus di Kuala Lumpur," katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, di sini Rabu lalu.

Katanya, Penasihat Undang-Undang Negeri akan menyiapkan dokumen lengkap berhubung pindaan itu untuk dibawa ke peringkat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Menurutnya, draf cadangan bersama dokumen berkenaan terlebih dahulu perlu dilulus pada peringkat mesyuarat Exco sebelum dikemukakan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri.

"Dewan Undangan Negeri perlu memberi notis dengan menyiarkannya menerusi pewartaan sekurang-kurang 14 hari sebelum tarikh persidangan Dun berlangsung," katanya.  
Sehubungan itu, beliau berkata, pembentangan rang undang-undang mengenai pindaan tersebut kemungkinan tidak dapat dilakukan sebelum 30 April ini, memandangkan kesuntukan masa.
"Kecuali sekiranya mesyuarat Exco khas diadakan selepas Penasihat Undang-undang kerajaan negeri pulang dari berkursus bagi mempercepatkan proses pindaan mengikut tarikh yang ditetapkan sebelum ini," ujarnya.

Menurutnya, sekiranya mesyuarat Exco khas tidak diadakan, pindaan ini mungkin akan dibentangkan dalam persidangan Dun pada Jun depan. Tambahnya, apabila mesyuarat Exco meluluskan pindaan itu dalam mesyuarat khas, draf berkenaan akan dihantar ke pejabat Speaker untuk mengeluarkan notis dalam tempoh 14 hari untuk diadakan persidangan khas.

Bagaimanapun beliau juga berharap pindaan berkenaan dapat dibentangkan pada sidang khas agar tidak bertembung dengan perkara-perkara lain, yang juga akan dibentangkan pada persidangan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, persidangan khas Dun akan diadakan sebelum 30 April ini untuk membentangkan rang-rang undang bagi menyelaras perlembagaan Kelantan selaras dengan Jadual kelapan perlembagaan Persekutuan.

Antara perkara yang dibangkitkan sebelum ini iaitu Perkara 15 (1) dan Perkara 39 (3) Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan.

Perkara itu adalah berkaitan, rang undang-undang tetap menjadi undang-undang selepas 30 hari biarpun tidak diperkenankan sultan dan istilah 'di atas nasihat' Majlis Mesyuarat Kerajaan terhadap sultan.



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan