Bilik Hotel untuk cuti sekolah penuh

KOTA BHARU, 15 Ogos  -  Dianggarkan seramai 100,000 pelancong akan mengunjungi Kelantan pada musim cuti persekolahan awal September ini, khususnya meraikan sambutan 50 Tahun PAS (Jubli Emas) peringkat kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Ngo, Haji Anuar Tan Abdullah berkata, bilangan pelancong yang begitu ramai sudah tentu tidak dapat ditampung dengan jumlah bilik hotel dan rumah tumpangan yang ada sekarang. Katanya, pelbagai alternatif lain terpaksa dicari bagi menampung kebanjiran begitu ramai pelancong dalam tempoh tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap mendapat kerjasama pentadbir Sekolah Menengah Ugama di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang mempunyai asrama untuk memberi kemudahan mereka menginap. Selain itu, beliau berharap orang perseorangan turut menyediakan kemudahan penginapan untuk pelancong sekiranya mereka mempunyai ruang dan bilik untuk disewakan.

"Kita berharap sekolah-sekolah agama di sekitar bandar ini bersedia menerima tetamu yang bakal berkunjung untuk memberi keselesaan kepada mereka. "Ini memandangkan bilik hotel yang terdapat di bandar ini sekarang hanya dapat menampung 10,000 hingga 15,000 orang sahaja, sedangkan pengunjung yang akan datang begitu ramai sekali. Beliau juga berkata, bilik-bilik hotel di semua tempat di Kota Bharu sekarang sudah habis ditempah sejak bulan Jun lalu.

Sambutan Jubli Emas PAS peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa bermula 7 hingga 9 September. Bagaimanapun perayaan Jubli Emas peringkat negeri Kelantan akan diadakan pada 2 hingga 6 September di tempat yang sama. Pelbagai acara menarik diadakan sempena perayaan tersebut termasuk ekspo perdagangan, forum agama, simposium, ceramah perdana, pidato, persembahan kebudayaan, sukaneka, dan pelancaran laman web PAS peringkat kawasan dan negeri. Perasmian Jubli Emas peringkat kebangsaan akan disempurnakan Presiden PAS pada 7 September kira-kira jam 9 pagi.