Peniaga sayur dapat payung Bandaraya Islam

KOTA BHARU, 15 Ogos  -  Keselesaan peniaga sayur-sayuran sementara di sekitar Pasar Besar Siti Khadijah turut mendapat perhatian kerajaan negeri, apabila menyediakan mereka payung khas bagi mengelakkan hujan dan panas ketika berniaga.

Seramai 92 peniaga di kawasan berkenaan menerima payung besar berwarna hijau yang bernilai RM10,000 disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan, pada 13 Ogos lalu. Payung berwarna hijau itu tertera tulisan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Bandaraya Islam 2005, sebagai simbolik ke arah persiapan Kota Bharu sebagai bandaraya Islam. Turut menerima payung tersebut dua peniaga berketurunan Siam. Mereka berniaga di kawasan tersebut bermula awal pagi hingga jam 11 pagi.

Takiyuddin  berkata, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat begitu prihatin terhadap masalah rakyat termasuk golongan peniaga. "Peniaga terbabit sebelum ini terpaksa berniaga di tengah panas dan hujan untuk mencari pendapatan keluarga, " ujarnya.

Katanya, ketika melawat pasar berkenaan Julai lalu, Menteri Besar meminta peniaga terbabit disediakan tempat berniaga yang lebih selesa. Beliau bagaimanapun, berharap peniaga menjaga imej diri dan kerajaan negeri dengan menjaga kebersihan kawasan perniagaan. "Kita tidak mahu kebersihan diabaikan dengan membuang sisa-sisa jualan di dalam longkang dan di mana sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKB, Haji Ramli Abu Bakar meminta kerjasama peniaga mengutamakan aspek kebersihan dan tidak mengambil kesempatan mendapat keuntungan lebih. Katanya, pelancong dari seluruh negara akan mengunjungi negeri ini pada cuti sekolah tidak lama lagi dan ia akan memberi pulangan yang besar kepada peniaga. Turut hadir pada majlis itu anggota Exco yang juga Adun Kota Lama, Haji Anuar Tan Abdullah.