Hakisan pantai: Kerajaan prihatin masalah penduduk

PENGKALAN CHEPA, 16 Mac - Penduduk yang terbabit dengan hakisan ombak di Pantai Dasar Sabak dan Pantai Kemaruk dekat sini berpeluang berpindah ke penempatan baru tidak lama lagi. Penempatan tambahan disediakan kerajaan negeri di Pulau Gajah untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk yang terbabit dengan masalah tersebut.

Wakil Khas Adun Chempaka, Haji Muhamad Ismail berkata, sebanyak 14 lot lagi disediakan untuk menempatkan penduduk dari Kampung Pantai Dasar dan Pantai Kemaruk, Sabak.

Katanya, memandangkan bilangan lot agak terhad, penduduk dipilih untuk ditempatkan di penempatan tersebut adalah di kalangan mereka yang benar-benar tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah.

"Penduduk terbabit dipastikan benar-benar tidak mempunyai penempatan lain dan permohonan mereka untuk mendapatkan lot rumah sudah lama diajukan kepada pihak kerajaan," katanya di sini.

Kerajaan negeri sehingga kini sudah menyediakan tiga penempatan untuk dijadikan tempat pemindahan penduduk yang menghadapi masalah hakisan ombak di Pantai Sabak.

Penempatan berkenaan iaitu di Pulau Gajah Blok A, Pulau Gajah Blok B dan sebuah lagi berhampiran sekolah di Sabak.
Usaha untuk memindahkan penduduk ke penempatan baru hanya dilakukan selepas kerajaan PAS mentadbir negeri ini pada akhir tahun 1990, sedangkan masalah hakisan ombak berlaku beberapa tahun sebelum itu, semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional. Kawasan itu sejak 1990 diwakili Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ratusan penduduk menikmati kehidupan lebih selesa di penempatan baru berkenaan dan sekiranya dinilai pada harga semasa setiap lot berharga lebih RM10,000 (seekar dibagi lapan lot).

Bagaimanapun Muhamad berkata, lot tersebut dibagi secara percuma kepada penduduk terbabit dan hanya dikenakan premium untuk urusan pentadbir tanah sebanyak RM500.

"Sedangkan kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan besar untuk mewujudkan penempatan berkenaan termasuk menimbuskan kawasan-kawasan berpaya," katanya.

Menurutnya, usaha itu dilakukan kerajaan negeri untuk memastikan penduduk dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan tidak terdedah lagi dengan masalah hakisan ombak.

Katanya, kerajaan negeri amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk memandangkan sebahagian mereka bergantung hidup sebagai nelayan.

Beliau juga berkata, masalah hakisan di Pantai Sabak semakin serius dari setahun ke setahun sehingga menyebabkan ramai penduduk terpaksa berpindah.

Menurutnya, ada di kalangan penduduk terpaksa menumpang di rumah saudara mara di kawasan lebih selamat dan menyewa di tempat lain.

"Kerajaan negeri begitu bersimpati terhadap masalah yang mereka hadapi dan usaha untuk menyediakan lebih banyak lagi penempatan baru sedang dirancang kerajaan negeri," katanya.