Kelantan Lantik Yang Dipertua Sepenuh Masa Bagi Lima Daerah

KOTA BAHARU, 15 Mac -- Kerajaan Kelantan akan melantik Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah yang bakal berkhidmat secara sepenuh masa bagi lima daerah bermula Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah Kelantan, Takiyuddin Hassan berkata majlis daerah berkenaan ialah Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Baharu.

"Pada masa ini YDP bagi daerah-daerah itu terdiri daripada pegawai daerah masing-masing dan dipikul secara bukan sepenuh masa," katanya kepada pemberita Khamis lalu.

Beliau berkata mengikut peraturan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hanya majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan dengan pendapatan tahunan melebihi RM10 juta sahaja boleh melantik YDP sepenuh masa tetapi kerajaan Kelantan awal tahun ini telah membuat permohonan kepada kementerian untuk pengecualian.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan melalui surat pada 21 Feb lepas telah memberikan persetujuan bagi membenarkan kita membuat pelantikan YDP sepenuh masa bagi kelima-lima daerah itu yang berpendapatan kurang RM10 juta setahun," katanya di sini.

Takiyuddin berkata mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam memutuskan supaya kekosongan bagi lima jawatan itu diisi pada 1 Julai ini melibatkan pelantikan calon terdiri daripada Pegawai Tadbir Negeri