Kelantan Tidak Amal Diskriminasi Pendidikan

KOTA BHARU, 16 April (Hrkh) - Kerajaan negeri akan memastikan semua rakyat negeri ini mendapat pendidikan yang sempurna tanpa mengira warna kulit.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, Haji Anuar Tan Abdullah berkata, pendidikan merupakan salah satu hak asas yang sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul bahawa kerajaan negeri melakukan dikriminasi terhadap sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di negeri ini. Menurutnya, sebagai rakyat negeri ini, masyarakat bukan Islam juga berhak mendapat pendidikan yang sempurna.

Justeru itu tambah beliau, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan bagi pembangunan sekolah-sekolah Cina ada di Kelantan.

Beliau yang juga Adun Kota Lama berkata, kerajaan negeri akan memastikan peristiwa yang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara baru-baru ini tidak terjadi di negeri ini.
"Kerajaan pimpinan PAS sangat prihatin terhadap isu pendidikan, semua rakyat berhak mendapat pendidikan tanpa mengira apa bangsa dan agama mereka.

"Justeru kita tidak mahu insiden sebagaimana yang berlaku di SJKC di Damansara baru-baru ini berlaku di Kelantan, kita ingin rakyat menikmati pembelajaran dengan selesa tanpa ada gangguan.
"Begitu juga soal bahasa, semua rakyat bebas bertutur bahasa masing-masing, kerajaan negeri tidak pernah menyekat kebebasan mereka, ini membuktikan keadilan kerajaan pimpinan PAS," katanya ketika merasmikan Pesta Buku yang dianjurkan sebuah persatuan Cina di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, di sini, minggu lalu.

Mengenai bidang pelancongan, beliau melahir keyakinan sektor itu mampu memberi pulangan yang menguntungkan kepada kerajaan negeri berdasarkan perkembangan semasa.

"Statistik kedatangan pelancong ke Kelantan menunjukkan satu trend yang menggalakkan, dijangkakan kunjungan pelancong ke negeri ini terus meningkat kepada 3.5 juta orang pada tahun ini," katanya.

Tambah beliau, antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong ke Kelantan ialah kawasan membeli belah terutama kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang.
Bagi menarik pelancong beliau mengingatkan para peniaga supaya merangka strategi jualan yang berkesan.

"Saya menyeru semua pihak supaya bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha menarik dan mempromosi pelancong luar untuk bertandang ke Kelantan," katanya
.


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan