Kerjasama Pusat atasi hakisan pantai    

PENGKALAN CHEPA, 16 Julai (Hrkh) - Kerajaan Kelantan memerlukan kerjasama kerajaan Pusat bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang dikenalpasti kritikal di beberapa tempat di negeri ini.
Sehubungan itu, mengikut kajian Jabatan Pengairan dan Saliran, peruntukan sebanyak RM48 juta diperlukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekiranya peruntukan itu diluluskan, beberapa kawasan yang kritikal dengan hakisan termasuk di Pantai Sabak Insya Allah akan dapat diatasi.

"Kerajaan negeri amat prihatin terhadap masalah hakisan dihadapi penduduk yang tinggal di sepanjang pantai sejak bertahun-tahun lalu sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian berjuta-juta ringgit," katanya selepas melawat projek mengatasi masalah hakisan pantai di Perdana Resort di sini, baru-baru ini.  Sebelum itu, beliau mendengar taklimat mengenai projek 'Beach Manegement' oleh Pengarah JPS, Choo Weng Keong yang dijalankan di kawasan berkenaan. Sehubungan itu, Menteri Besar berharap penduduk lebih bersabar menghadapi masalah tersebut sehingga projek tebatan yang dicadangkan dilaksanakan kelak.

Pantai Sabak kini semakin kritikal dilanda hakisan ombak sehingga menyebabkan penduduk yang tinggal di tepi pantai terpaksa berpindah ke kawasan lain.  Bagaimanapun kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu sudah menyediakan penempatan khas bagi penduduk yang terdedah kepada hakisan ombak iaitu di Kampung Pulau Gajah dan pedalaman Pantai Sabak.  Ratusan keluarga penduduk kini menikmati kehidupan lebih selesa di penempatan baru tersebut.  "Projek untuk menambak Pantai Sabak akan dimulakan secepat mungkin apabila mendapat kelulusan peruntukan oleh kerajaan Pusat," katanya.

Mengenai 'Beach Manegement' yang dilaksanakan di Pantai Cahaya Bulan berhampiran Perdana Resort beliau berkata, projek itu adalah antara tercanggih bagi mengurangkan hakisan pantai di kawasan yang kurang daripada tiga kilometer.

Projek tersebut dimulakan sejak pertengahan tahun lalu dan dijangka siap pada akhir Ogos  ini.
Menurutnya, projek mengurang hakisan pantai menggunakan kaedah tersebut adalah yang pertama di Malaysia dan yang kedua di Asia.

Sebelum ini, kaedah tersebut sudah digunakan secara meluas di Jepun iaitu sejak tahun 1999. Projek yang dilaksanakan di PCB membabitkan kos RM3.12 juta. Hadir turut hadir pada taklimat tersebut anggota-anggota Exco, Haji Omar Muhamad dan Ustaz Ahmad Yakub.