Jubli Emas PAS
JANGAN NAIK HARGA BARANG - MB

   
KOTA BHARU, 16 Julai  - Peniaga-peniaga di bandar ini diharap tidak menaikkan harga barangan jualan mereka sesuka hati, terutamanya ketika sambutan Jubli Emas PAS yang akan diadakan di sini, pada akhir Ogos ini.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, peniaga jangan mengambil kesempatan tersebut untuk mengaut keuntungan mudah. "Minta maaf... saya harap peniaga terutamanya yang menjual makanan tidak mengenakan harga begitu tinggi.

"Peniaga makanan jangan pula hendak 'sembelih' (naikkan harga) apabila mendengar mereka bertutur bukan dialek Kelantan," katanya di sini.  Menurutnya, sekiranya peniaga berdegil mengenakan harga tinggi di luar harga biasa, mereka memang mendapat keuntungan berlipat kali ganda, namun tidak akan memperolehi kawan.  Katanya, pengunjung yang datang ke sini akan serik untuk berkunjung lagi, apabila mereka dikenakan dengan harga luar biasa. "Mereka akan menceritakan segala pengalaman buruk semasa berada di sini kepada rakan-rakan lain dan risikonya tidak ramai lagi pelancong luar akan datang ke Kelantan," katanya.

Perayaan Jubli Emas PAS akan disambut di Kelantan selama tiga hari bermula 23 Ogos ini dan dijangka ribuan ahli dan penyokong PAS dari seluruh negara akan berkunjung ke sini. Sehingga kini hotel-hotel dan rumah tumpangan di Kota Bharu sudah penuh ditempah sejak beberapa bulan lalu.

Sambutan tersebut akan diadakan di Pusat Tabiyah Islamiah Kelantan (Putik) yang kini sedang disiapkan di Pengkalan Chepa.  Bangunan utama yang dijangka siap menjelang sambutan ulang tahun ke-50 PAS akan dapat menampung 4,000 peserta termasuk 1,000 muslimat di bahagian atas.
Pelbagai acara menarik diadakan sempena sambutan tersebut yang diurusetiakan Perhubungan PAS Kelantan dan kerjasama Pejabat Agung PAS.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kub berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi memantau harga barangan pengguna di negeri ini. Katanya, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mendapat keuntungan mudah.

"Peniaga perlu merealisasikan hasrat kerajaaan negeri untuk mengekalkan Kelantan sebagai destinasi kunjungan yang paling diminati di negara ini. "Sekiranya peniaga enggan mematuhi hasrat tersebut mereka juga akan menanggung risikonya kerana pelancong akan berfikir dua kali untuk berkunjung ke sini lagi," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang berdegil termasuk mencadangkan lesen premis  mereka tidak lagi disambung.

Ustaz Abdullah juga mahu peniaga mencerminkan identiti yang sopan termasuk menutup aurat bagi pekerja wanita Islam dan bersopan bukan Islam. Katanya, identiti tersebut perlu dipertahankan kerana ia menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke Kelantan.

Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Buniyamin Yaakub berharap masjid-masjid yang terletak di sepanjang jalan utama ke bandar Kota Bharu menjaga kebersihan premis ibadat mereka.

Katanya, tandas-tandas di kawasan masjid yang menjadi tumpuan orang ramai perlu dijaga setiap masa kerana sebelum ini, tandas tidak mencerminkan keadaan sepatutnya.

"Begitu juga penternak-penternak tidak boleh membiarkan binatang ternakan mereka seperti lembu, kambing dan biri-biri berkeliaran di kawasan awam atau tepi-tepi jalan sepanjang tempoh kehadiran pelancong ke Kelantan pada akhir Ogos ini," tambahnya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sedang menjalankan kerja membersih tempat-tempat awam tumpuan ramai di bandar ini, termasuk Pasar Besar Siti Khadijah. Minggu lalu, pasar berkenaan dibersihkan dengan kerjasama peniaga dan kakitangan MPKB.

Manakala Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) yang akan menjadi tempat berlangsung sambutan Jubli Emas PAS kini dijalankan kerja-kerja pembinaannya siang dan malam.
Kerja-kerja terakhir menyiapkan bangunan dewan bagi fasa pertama Putik sedang dijalankan bagi menyambut kedatangan tetamu mulai 23 Ogos ini.