Pungutan Tabung Serambi Mekah diperluas    

KOTA BHARU, 16 Julai (Hrkh) - Kerajaan negeri mewujud sebuah jawatankuasa khas bagi memungut derma untuk mengisi Tabung Serambi Mekah di luar Kelantan. Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, jawatankuasa berkenaan yang dikenali Jawatankuasa Kecil Punggutan Derma Tabung Serambi Mekah di Kuala Lumpur sedang membuat kajian mengenai perkara tersebut.

"Insya Allah kita akan melihat dari segi pandangan orang ramai adakah penderma di Kuala Lumpur bersedia hadir ke majlis kita atau bagaimana, kita akan tinjau dari dekat sebelum program tersebut dilaksanakan," katanya selepas majlis punggutan derma bagi mengisi Tabung Serambi Mekah di sini, 16 Julai.

Perasmian program tersebut disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Turut hadir, anggota-anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Wan Mohamad Wan Konok, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan negeri serta Pusat.

Sebanyak RM1.15 juta berjaya dikutip pada majlis tersebut yang disumbangkan agensi-agensi kerajaan, wakil-wakil rakyat, syarikat swasta dan orang perseorangan.

"Kalau kita buat, orang ramai tidak berani datang untuk menyampaikan sumbangan, kita kena cari kaedah lain," kata Haji Abdul Halim yang juga Pengerusi tabung berkenaan.  
Menurutnya, kutipan bagi tabung di luar Kelantan dicadangkan akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur. "Kutipan di luar Kelantan itu akan dibuat bergantung kepada laporan jawatankuasa berkenaan yang membuat kajian mengenainya," katanya.

Sebelum itu, ketika merasmikan majlis berkenaan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan kutipan tabung berkenaan diperluaskan di luar Kelantan pada masa akan datang.  Katanya, penderma-penderma di luar Kelantan perlu diberi peluang menderma bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan di negeri ini.

"Usaha mengisi tabung itu boleh dikembangkan ke negeri lain pada masa akan datang untuk memantapkan lagi tabung berkenaan," kata Menteri Besar.

Haji Abdul Halim juga berkata, bantuan dari tabung berkenaan juga pernah disalurkan kepada pihak tertentu di luar Kelantan termasuk dalam kes bencana alam, seperti kebakaran pondok.
Menurutnya, bantuan itu diberi tumpuan bukan kepada orang perseorangan, memandangkan masih ramai lagi rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan.

Bagaimanapun katanya, derma untuk mengisi tabung berkenaan dari luar Kelantan sudah lama diterima yang disumbangkan secara terus kepada pihak urusetia tabung iaitu Pejabat Pembangunan Negeri.

Ketika berucap sebelum itu Timbalan Menteri Besar berkata, sumbangan yang diterima sepanjang tahun lalu sebanyak RM1.292 juta, tidak termasuk RM50,185 keuntungan daripada pelaburan.
Perbelanjaan pula sepanjang tempoh tersebut sebanyak RM1.62 juta.

Manakala bantuan rawatan perubatan dan sara hidup Tabung Serambi Mekah berjaya membantu 104 penduduk yang membabitkan sumbangan berjumlah RM51,400.

Bagi bantuan kemudahan asas sebanyak RM653,417 juga disalurkan bagi tempoh berkenaan.
Agihan perbelanjaan bagi tempoh yang sama dikeluarkan mengikut jajahan iaitu Kota Bharu sebanyak RM577,450; Pasir Mas (RM246,217); Bachok (RM172,700); Tanah Merah (RM107,900) dan Tumpat (RM101,100).

Jumlah kutipan keseluruhan tabung tersebut sejak diwujudkan kira-kira 11 tahun lalu iaitu sebanyak RM18.3 juta dan bantuan yang disalurkan dalam tempoh tersebut sebanyak RM16.9 juta.