Politik di kampus timba pengalaman - MB
   
KOTA BHARU, 16 Julai (Hrkh) - Kerajaan tidak wajar menghalang sepenuhnya pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini bergiat dalam mana-mana politik, memandangkan mereka perlu menimba pengalaman sebelum menyertai pentas politik setelah tamat belajar.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekiranya pelajar tidak mengambil tahu mengenai politik, sukar bagi mereka hendak mengetahui politik sebenar.

"Bagaimanapun pelajar tidak perlu melibatkan diri dengan cara serius dan cukuplah sekadar ambil tahu sahaja, kerana dibimbangi boleh mengganggu pelajaran mereka.  "Jika pelajar terlampau taksub dengan politik sehingga mengabaikan pelajaran, itu adalah tak betul," katanya ketika ditemui pemberita di sini, selepas merasmikan kutipan Tabung Serambi Mekah, 16 Julai.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan tokoh-tokoh pendidik melahirkan kebimbangan sikap pelajar lelaki Melayu yang lebih mengutamakan politik daripada menimba ilmu sehingga memburukkan tahap pencapaian mereka.

Tokoh pendidik, Tan Sri Awang Had Salleh dilaporkan berkata, sindrom politik kepartian begitu menonjol di kampus sejak beberapa tahun lalu menjadi punca kelemahan pelajar Melayu dalam akademik.

Menteri Besar Kelantan berkata, sekiranya pelajar tidak mengambil tahu mengenai politik semasa, tidak boleh kerana khuatir apabila keluar universiti mereka tiada pengetahuan mengenai politik negara.

"Sungguh pun demikian mereka perlu sedar sebagai pelajar, mereka akan terikat dengan undang-undang tempat belajar," katanya. Menurut beliau, bidang politik diibaratkan sebagai kegiatan sukan bagi setiap individu untuk menjaga kesihatan badan.  Bagaimanapun kalau lebih bersukan akan mendapat penyakit lain pula.

"Begitu juga dengan politik, pelajar perlu mengambil tahu, jika mereka tidak ambil tahu, bagaimana hendak membuat keputusan apabila hendak mengundi kelak," katanya.