Tabung Haji: Dr Hamid jangan sembunyi diri

PASIR MAS, 17 April - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Abdul Hamid Othman perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan wang simpanan rakyat di Tabung Haji.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, bekas menteri terbabit jangan cuba menyepikan diri kerana kehilangan dan kerugian yang berlaku ke atas Tabung Haji dikesan berlaku semasa dia menjadi menteri kabinet.

"Semasa menjadi menteri beliau menerima elaun sehingga RM12,000 sebulan, itu belum lagi termasuk pelbagai elaun lain.
"Beliau dibayar dengan elaun yang begitu tinggi setiap bulan, maka perlulah bertanggungjawab ke atas segala masalah yang berlaku terhadap badan berkenaan," katanya pada ceramah di Maahad Darul Quran, Slow Machang, dekat sini, malam 16 April. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh.

Tabung Haji sebuah badan yang diwujudkan kerajaan untuk mengurus orang ramai yang mahu menunaikan ibadat haji.
Bagaimanapun wang simpanan bakal-bakal haji di badan tersebut dikesan hilang lebih RM8 juta. Baru-baru ini, wang sebanyak RM80 juta pula dilaporkan hilang ekoran kesilapan pelaburan.

Sebelum itu, pelaburan Tabung Haji di sektor penanaman kelapa sawit di Riau, Indonesia dilaporkan mengalami kerugian besar kerana kesilapan pengurusan. Ekoran kerugian tersebut menyebabkan Tabung Haji terpaksa membayar dividen yang semakin rendah kepada pendepositnya. Dividen yang dibayar tahun ini sebanyak 3.25 peratus. Kehilangan wang dan kerugian Tabung Haji itu diperkatakan secara meluas di dada akhbar sebelum ini. Bagaimanapun bekas menteri terbabit dilaporkan tidak mahu dikaitkan ke atas dirinya mengenai kerugian tersebut.

Mohd Amar berkata, rakyat di negara ini amat malang sekali kerana pemimpin seperti itu terus diberi kepercayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga dilantik pula sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.
"Keadaan seperti inilah yang menyebabkan umat Islam di negara ini menjadi semakin bercelaru," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas mencadangkan badan tersebut dipanggil sebagai Ajinomoto dan bukan lagi Tabung Haji. Katanya, tidak perlu lagi dipanggil Tabung Haji kerana duit rakyat miskin yang mahu menunaikan ibadat haji dikebas dengan mudah oleh pemimpin-pemimpin negara.

Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh mendakwa, masalah berkaitan pelaburan Tabung Haji dikesan berlaku semasa pengerusinya Dato' Ahmad Razali Mohd Ali (adik ipar Dr Mahathir) menerajui badan tersebut. Beliau difahamkan pelaburan yang tidak ekonomik dilakukan Tabung Haji di bawah pengurusan tokoh berkenaan termasuk mengadakan pelaburan dengan penanaman kelapa sawit secara besar-besaran di Riau.

"Sedangkan pemimpin tersebut sebelum itu sudah dikenali sebagai bermasalah ketika menjadi Menteri Besar Selangor," katanya.

Ustaz Mohd Amar juga berkata, pemimpin Umno sering kali dikaitkan dengan kehilangan puluhan juta duit rakyat.
Katanya, begitu juga dengan pemimpin Umno di Kelantan, Dato' Annuar Musa juga dikaitkan dengan kehilangan RM36.5 juta wang projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Duit untuk membantu rakyat miskin juga dikebas. Apa lagi yang boleh diharap kepada pemimpin Umno sekarang," ujarnya.

Akhbar bertarikh 16 April melaporkan Badan Pencegah Rasuah menahan kereta mewah milik Annuar bagi membantu siasat berhubung kes kehilangan puluhan juta wang PPRT.