BA potensi tawan 4 negeri lagi

KOTA BHARU, 17 April- PAS dan Barisan Alternatif (BA) mempunyai alasan kukuh untuk menguasai empat lagi negeri pada pilihan raya akan datang. Empat negeri yang tersebut iaitu Kedah, Perlis, Pahang dan Selangor.

Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mustafa Ali berkata, di antara negeri tersebut Kedah merupakan salah satu negeri yang dianggap paling berpotensi untuk ditawan.

"Negeri-negeri terbabit menjadi tumpuan kita dan kita sedang bekerja ke arah itu, biarpun dari sudut suasana kerja dan perkembangan yang berlaku pada waktu ini, tidak dinafikan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai kekuatan.
"Tetapi sedang kita bekerja ke arah itu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Bharu di sini, baru-baru ini.

Haji Mustafa yang juga anggota Exco kanan kerajaan Terengganu berkata, PAS berharap mampu menjadi pembangkang yang kuat di negeri-negeri lain yang dianggap belum ada potensi untuk diperintah. Katanya, negeri-negeri berkenaan termasuk Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kita berharap mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri di negeri tersebut pada pilihan raya umum akan datang. Memang kita menjangka ada potensi suasana seperti itu akan berlaku. "Bagaimanapun ia bergantung kepada kekuatan PAS di negeri berkenaan," tambahnya.

Pada pilihan raya umum lalu, PAS dan BA membuat kejutan besar apabila berjaya menawan Terengganu dan merampas banyak kerusi Dun dan Parlimen di Kedah, Perlis, Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Jumlah wakil rakyat PAS bagi peringkat parlimen sekarang seramai 27 orang.

Haji Mustafa berkata, kejayaan untuk menawan Kedah pada pilihan raya umum akan datang dapat dilihat kepada sejarah yang berlaku di Terengganu pada pilihan raya umum ke-10 lalu. Katanya, kekuatan PAS di Terengganu sebelum menjelang pilihan raya itu sudah setara dengan BN.

"Di mana ketika itu PAS sudah ada kekuatan sehingga 45 peratus, ini bermakna kekuatan kita dengan pembangkang hampir setara, dan peluang kita untuk menawan sudah ada. "Dan kita mendapat tambahan 14 peratus lagi pada pilihan raya umum 1999," ujarnya.

Menurutnya, suasana yang berlaku di Kedah sekarang juga hampir sama dengan apa yang berlaku di Terengganu pada pilihan raya umum lalu. Katanya, selepas pilihan raya umum ke-10, PAS dan BA sudah ada lebih 40 peratus kekuatan di Kedah. Sekiranya berlaku tambahan hanya beberapa peratus lagi pada pilihan raya umum akan datang, bermakna ia memberi peluang cerah untuk PAS menawan Kedah.

Selain itu, bilangan kawasan parlimen yang dimenangi PAS di Kedah sudah melebihi BN sekarang. Beliau berkata, Kedah adalah negeri Perdana Menteri yang mempunyai potensi tinggi ditawan PAS.

"Pahang juga sudah nampak peningkatan dan mungkin dengan ada pembiasan kekuatan PAS di Terengganu dan Kelantan, ia diharap dapat membantu usaha menawan Pahang pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Menurutnya, peluang ke arah itu masih terbuka luas, biar pun BN cuba menghalang termasuk menghala serangan bertubi-tubi ke arah Terengganu.

"Insya Allah kita boleh bertahan di Terengganu, biar pun diserang dengan begitu hebat sekali, tetapi ada juga serangan mereka yang tidak mengena pada sasarannya," katanya.

Ketika berucap di majlis itu, sebelumnya beliau berkata, Terengganu kehilangan hasil pendapatan sehingga 75 peratus apabila duit royalti dinafikan kerajaan BN.

Bagaimanapun katanya, duit royalti yang bertukar kepada wang ihsan menjadi antara faktur pengaruh PAS semakin kuat di negeri berkenaan.

"Rakyat berterima kasih kepada PAS kerana kemenangan parti itu membolehkan mereka menikmati wang ihsan," katanya.

Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, PAS di Kelantan merasakan sedikit kelegaan, selepas serangan yang dituju kepada negeri ini sebelum 1999, sekarang dihala pula ke Terengganu.
Katanya, kira-kira 80 peratus serangan tersebut telah beralih ke Terengganu selepas negeri tersebut berjaya ditawan PAS pada pilihan raya umum lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, Umno terpaksa mencipta banyak projek-projek baru bagi membolehkan kontraktor kroni mereka mendapat manfaatnya.