Perarakan patung: Hidupkan fahaman Hindu - MB

GUA MUSANG, 18 April- Menteri Besar menyifatkan usaha segelintir pihak menganjur perarakan patung burung Petalawati, 12 April lalu sebagai percubaan menghidupkan kembali saki baki fahaman Hindu yang pernah berakar umbi di kalangan orang Melayu zaman lampau.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mengikut riwayatnya orang Melayu ketika itu pernah menganuti fahaman Hindu dan mempercayai pokok-pokok kayu besar.

"Begitu juga dengan watak-watak seperti Serama, Wak Long, Pak Dogol adalah perkara yang tidak wujud di alam nyata. Perkara yang tidak ada, tetapi diada-adakan oleh orang Melayu lama.

"Fahaman seperti itu tersebar luas kerana orang Melayu tidak belajar mengenai Islam," katanya ketika merasmikan surau milik Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd di Stong, dekat sini, 15 April.

Pada 12 April lalu, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang diketuai Dato' Ibrahim Ali mengadakan perarakan patung burung Petalawati untuk dipersembahkan kepada Sultan Kelantan sempena hari ulang keputeraan baginda ke-52.

Perarakan patung burung, patung gajah, pulut semangat, kereta berkuda, beca berhias dan disertai Sultan, Raja Perempuan, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno. Mereka kemudian hadir pada majlis jamuan rakyat yang menyajikan persembahan artis dan tarian tanpa menghiraukan peraturan kerajaan negeri serta larangan agama.

"Sebab itu saya marah sangat, kalau hendak guna duit kerajaan, pegawai dan apa sahaja hak kerajaan negeri untuk menjayakan program seperti itu saya tidak bersetuju. "Perarakan patung burung itu berkaitan dengan unsur-unsur khurafat," katanya.

Menurutnya, semasa beliau mula-mula memegang teraju pemerintahan negeri, tindakan pertama yang dilakukan ialah mengikis perkara-perkara khurafat termasuk persembahan wayang kulit. Beliau berkata, wayang kulit ketika itu adalah permainan yang diminati orang Melayu sehingga persembahannya diadakan hampir setiap malam.

"Dogeng wayang kulit itu terus diwarisi dari generasi ke generasi lain, sehingga permainan wayang kulit diadakan tiga empat malam seminggu. "Benda macam ini adalah jelas karut, kerana di atas dunia ini, tidak ada orang yang bernama Pak Dogol, Wak Long dan Hanuman Kera Putih.
"Tetapi cerita itu diada-adakan oleh penganut agama Hindu zaman lampau, kemudian dogeng itu terlekat sehingga sampai zaman sekarang," tambahnya.

Menteri Besar berkata, begitu juga patung burung Petalawati yang ditimbulkan 12 April lalu adalah barang yang tidak ada di alam nyata. Katanya, pihak terbabit cuba menghidupkan kembali unsur-unsur khurafat yang telah berjaya dibuang daripada otak orang Melayu.

"Kalau mereka hendak membuat bunga besar untuk dihadiah kepada Sultan, itu tidak menjadi masalah, tak apa.... kerana benda itu wujud di alam nyata.

"Bagaimanapun apa yang dibuat pihak berkenaan baru-baru ini (patung burung Petalawati) untuk dipersembahkan kepada raja adalah benda karut," ujarnya.

Sementara itu di KOTA BHARU ketika mengulas mengenai ramai orang datang menyaksikan perarakan patung burung berkenaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, mereka mungkin datang hanya sekadar mahu menyaksikan perkara-perkara yang dianggap pelik.

"Mereka keluar ramai-ramai kerana nak tengok benda pelik. Kereta 'accident' tengah jalan pun ramai orang berkumpul untuk melihatnya, tidak pula ini bermakna orang sokong 'accident'," katanya.

Baru-baru ini, bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, rakyat Kelantan tidak mengendahkan kenyataan Menteri Besar yang melarang mereka menyaksikan perarakan patung burung tersebut.

Menteri Besar berkata, sebagai seorang pendakwah beliau mengingatkan rakyat tidak terbabit dengan perkara-perkara mungkar dan kerja tidak berfaedah.

"Saya nak tanyalah, kos membuat patung burung sampai habis RM30,000 tu kerja makruf ke atau kerja membazir?
"Duit habis, masa terbuang, rakyat tinggal kerja buat, silap-silap syirik pula kepada Allah swt. Kalau guna peruntukan sehingga RM30,000 itu buat rumah untuk janda miskin anak 10 tentunya lagi baik, lagi mulia.

"Bagi orang beragama, sampaikan nasihat itu pun sudah dikira berjaya. Orang ikut tak ikut, dia sudah dapat pahala penuh atas usaha itu," katanya.

Menurut beliau, sekiranya hendak diambil kira orang ikut atau tidak, najis dadah yang ditegah sejak berpuluh tahun lalu, masih ramai tidak mengendahkannya.

Katanya, sudah beratus juta ringgit dihabiskan kerajaan, namun orang tidak mendengarnya juga larangan terjebak dengan najis dadah.

"Saya mudah saja... dengar tak dengar, rakyat nampaknya faham kerja mengarakkan patung tu kerja sia-sia. Bunyi riuh-riuhnya, mereka jenguklah sebentar.

"Kita dah masuk alaf baru. Setengah orang masih nak undur lagi ke belakang. Majulah sikit ke depan, benda mitos, khurafat yang kononnya dunia terletak di paruh seekor burung tentunya benda khayal... barang tak masuk akal... kalau ye pun nak main politik, pilih tempatnya. "Kita tua, fikirlah cara orang tua. Jangan ikut sangat budak-budak. Yang malunya kita," ujarnya.

Manakala kenyataan Pejabat Mufti Kelantan yang bertarikh 10 April lalu menyebut perarakan patung burung yang menerapkan unsur pemujaan adalah khurafat dan boleh membawa kepada terjejasnya aqidah.

Keraian dan perarakan yang bersifat sedemikian wajar dielakkan sama ada dari segi penganjuran dan penyertaan.
Al Imam al Nawawly telah menukilkan pandangan Ashaab al Syaafi'yyah bahawa perbuatan dan pembikinan objek haiwan adalah haram dan ia termasuk di bawah kategori dosa besar.