KPK pengeluar utama spesis pokok hutan

GUA MUSANG, 17 April - Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn Bhd dijangka menjadi pengeluar utama benih-benih spesis tanaman semulajadi utama di negara ini. KPK kini berjaya mewujudkan tapak semaian perhutanan dan pemuliharaan di kawasan seluas enam hektar di Kem Meranto, Bertam di pedalaman Gua Musang. Tapak semaian itu akan dapat menampung sebanyak 2.74 juta anak benih setahun untuk dibekalkan ke seluruh negara bagi tujuan pemuliharaan dan pemulihan hutan.

Pengurus Besar KPK, Che Abdullah Mat Nawi berkata, tapak semaian itu berfungsi sebagai nadi penggerak bagi aktiviti penanaman kawasan lapang selepas tebangan hutan dilakukan.

"Tapak semaian ini akan menggunakan anak pokok hutan yang berkualiti tinggi sebagai stok tanaman bagi menjamin mutu hutan secara berkekalan.

"Ia juga dijangka menjadi sebuah tapak semaian perhutanan dan pemuliharaan yang terbesar di Semenanjung Malaysia," katanya pada perasmian tapak semaian tersebut di sini, baru-baru ini.

Perasmian itu dilakukan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama anggota-anggota Exco, Ustaz Ahmad Yakub, Ustaz Abdullah Ya'kob, wakil-wakil rakyat, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Haji Hanifa Ahmad dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Haji Dahlan Taha.

Che Abdullah berkata, pengeluaran stok tanaman daripada tapak semaian tersebut turut menyumbangkan kepada keperluan program penanaman semula hutan.

"Stok tanaman yang berkualiti tinggi dijangka mendapat permintaan pelbagai pihak untuk penanaman semula hutan, penggunaan lanskap dan kebun buah-buahan," katanya.

Pelbagai kemudahan disediakan di kawasan tapak semaian tersebut termasuk kawasan naungan semulajadi, rumah tabungan, rumah teduhan, batas naungan semulajadi dan petak terbuka. Tangki khas yang dapat menampung kapasiti air sebanyak 48,000 liter padu juga disediakan untuk kegunaan siraman anak benih.

Spesis pokok yang disemai didapati daripada pelbagai jenis hutan termasuk meranti, merbau, jati dan cengal. Selain itu, spesis pokok buah-buahan, herba dan tanaman tutup bumi juga disediakan. Spesis pokok yang disemai mengambil masa enam bulan untuk matang. Anak-anak benih juga dipastikan matang dan mempunyai daya ketahanan tinggi sebelum ditanam di kawasan lapang. Tapak semaian berkenaan dianggap paling strategik memandangkan kedudukannya berselindung di sebalik Gunung Ayam dan mempunyai suhu berhawa sederhana sehingga mencapai tahap 18 darjah Celsius pada waktu malam. Aliran angin yang sentiasa bertiup ke kawasan berkenaan menyebabkan suasana nyaman dan dingin dirasai di siang hari.

KPK mendapat kerjasama sebuah kosultan daripada Universiti Putra Malaysia yang diketuai, Dr Azani Alias bagi membuat kajian dan penyediaan tapak tersebut. Tapak semaian itu akan menempatkan pokok-pokok hutan tempatan, eksotik, buah-buahan, bunga, ubatan dan rumput hiasan.

Che Abdullah berkata, KPK memerlukan sebanyak 1.45 juta unit stok tanaman pelbagai spesis dalam tempoh setahun bagi melaksanakan program pemuliharaan hutan. Manakala keperluan bagi agensi lain adalah dianggarkan sebanyak 1.5 juta unit setahun.

"Dengan komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak, tapak semaian ini akan berupaya menjadi pembekal utama stok tanaman bagi program pemuliharaan hutan di Kelantan," katanya.

Menteri Besar berkata, kewujudan tapak semaian KPK tersebut tepat pada masanya bagi melaksanakan program pemulihan hutan di Kelantan. Katanya, usaha itu disifatkan sebagai fardhu kifayah bagi dimanfaat generasi akan datang.

Beliau juga turut membidas penerokaan hutan secara rangkus dilakukan segelintir pihak yang boleh membawa kepada kemusnahan alam semulajadi.

Dr Azani berkata, tapak semaian berkenaan sehingga kini berjaya mengumpul sebanyak 200,000 spesis anak pokok yang diambil dari hutan semulajadi. Tapak semaian seluas enam hektar itu diberi nama 'Al Rawasi' oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Jarak perjalanan tapak semaian tersebut dari kilang papan milik KPK di Stong, Kuala Krai mengambil masa kira-kira 45 minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda.