Ibrahim Libya tetap syahid - Rakan karib

PENGKALAN CHEPA, 18 Mac  - Rakan karib kepada Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya menegaskan beliau tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk menyatakan guru agama itu sebagai syahid.

Setiausaha PAS Baling, Yusof Hussin yang juga rakan karib kepada Ustaz Ibrahim berkata, beliau tidak akan mengubah pendirian itu, biar pun dipaksa dengan apa cara sekalipun.

"Biarpun ditahan di bawah ISA seumur hidup, saya tidak akan menukar pendirian untuk menyatakan Ustaz Ibrahim memang mati syahid," katanya pada ceramah menjelaskan isu Memali di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh.

Yusof turut berada di tempat kejadian semasa pasukan polis menyerang guru agama berkenaan bersama 13 lagi anak muridnya yang lain.

Menceritakan semula detik-detik yang berlaku menjelang peristiwa berdarah berkenaan Yusof berkata, pihak polis telah berusaha menangkap Ustaz Ibrahim sejak 24 September 1984.

Katanya, ketika itu kira-kira 400 anggota polis menjalankan misi untuk menahan guru agama tersebut.
"Allahyarham tidak mahu ditahan dan dia hanya merelakan dirinya ditangkap selepas tidak bernyawa lagi.
"Ini kerana Islam tidak membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara," katanya.

Menurutnya pada hari kejadian iaitu 19 November 1985 pihak polis telah menutup jalan-jalan yang menghala ke Memali termasuk dari Baling dan Sik.

Beliau berkata, kira-kira 4,000 anggota polis yang lengkap dengan senjata M-16 dan kereta perisai mengepung rumah Ustaz Ibrahim.

Ketika itu terdapat kira-kira 80 penduduk tempatan yang menjadi anak murid kepada Ustaz Ibrahim.
"Orang kampung mendapat tahu berita kepungan yang dilakukan anggota polis terhadap kediaman Ustaz Ibrahim.
"Mereka naik marah kerana di tempat tersebut terdapat anak-anak dan kaum keluarga mereka berguru kepada Ustaz Ibrahim.

"Ekoran itu, orang kampung keluar beramai-ramai dengan membawa pisau, kayu dan apa sahaja kerana marahkan polis yang sedang mengepung tempat tersebut," katanya.

Yusof berkata, gambar perempuan-perempuan tua membawa pisau dan kayu yang disiarkan RTM melalui klip video Memali sebelum ini adalah ibu dan bapa kepada anak murid Ustaz Ibrahim.

Bagaimanapun katanya, pihak polis tetap melakukan serangan yang dimulakan pada jam 12.45 pagi sehingga menumbangkan As Syahid bersama pengikut-pengikutnya.

Menurutnya, beliau juga berada di tempat kejadian ketika itu, namun umurnya masih lagi dipanjangkan Allah.
Beliau berkata, Ustaz Ibrahim ditembak dan rebah di tempat kejadian, kemudian didatangi isteri, ibu dan bapanya untuk membantu.

Namun, mereka diseret dengan kasar ke tempat lain dan pihak polis membiarkan Ustaz Ibrahim menderita sakit seorang diri sehingga menemui ajalnya di tempat kejadian.

Ekoran kejadian tersebut, balu-balu Memalu membawa kes itu ke mahkamah pada 1988. Bagaimanapun perbicaraan kes itu ditangguh beberapa kali sehingga berlarutan sampai sekarang. Dan perbicaraannya dijangka diadakan pada 4, 5 dan 6 April ini.

Sehubungan itu, Yusof berharap orang ramai hadir beramai-ramai di mahkamah sempena perbicaraan kes tersebut dengan membawa sepanduk.

Malah beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam juga difahamkan bersetuju untuk hadir pada perbicaraan berkenaan sebagai saksi penting.

Ketika kejadian, Tan Sri Musa adalah Menteri Dalam Negeri yang dianggap terbabit secara langsung dengan peristiwa berdarah itu.

Sementara itu, satu sumber memberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan pernah menyatakan kekesalan kerana terbabit dengan peristiwa Memali sehingga mengorbankan banyak nyawa.

"Saya pernah melihat Tan Sri Musa menangis bila diajukan kepadanya soalan berkaitan Memali," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula berkata, perjuangan untuk mendaulatkan Islam tidak akan sunyi untuk berdepan dengan pelbagai masalah kerana ia sudah berlaku sejak zaman awal kebangkitan Islam lagi.

Katanya, Nabi Muhamad saw terpaksa berhijrah ke Madinah selepas menerima tentangan hebat daripada masyarakat Quraisy di Makkah ketika mahu menyebarkan syiar Islam.