Abim berusaha wujud budaya 'mesra ilmu'

KOTA BHARU, 18 Mac - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan berusaha mewujudkan suasana 'mesra ilmu' untuk membentuk masyarakat berbudaya ilmu.

Setiausahanya, Mazelan Mat Zali berkata, usaha itu diharap mampu mencipta suatu tamadun baru umat Islam pada abab ke-21 sekarang.

"Selain itu, diharap dapat mengangkat martabat para ilmuan di kalangan masyarakat dengan menyusun dan mengatur ruang serta peluang berinteraksi.

"Ia juga diharap dapat menanam sikap cintakan ilmu dan para ilmuan akan menjadi idola kepada masyarakat," katanya di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, siri bicara ilmu secara percuma diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Abim di Tanjung Mas, Jalan Pengkalan Chepa.

Menurutnya, siri bicara itu menjemput tokoh-tokoh ilmuan dan ulama terkenal untuk berinteraksi dengan masyarakat.
Pada siri pertama Febuari lalu, pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Uthman El Muhammadi dijemput menyampaikan ceramah agama yang bertajuk 'Peristiwa 11 September: Kesan Ke Atas Umat Islam'. Program tersebut diadakan pada 19 Febuari lalu.

Manakala bagi siri untuk bulan Mac ini, akan diadakan pada 19 Mac di tempat yang sama.
Penceramah jemputan khas iaitu Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Yusof Othman yang akan menyampaikan bicaranya bertajuk, 'Penghijrahan Minda - Kemelut Pemikiran Umat Melayu Islam Masa Kini'.

Mazelan berkata, siri bicara tersebut merupakan kali kedua diadakan dan ia akan menjadi agenda tetap bulanan.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk mengikuti siri bicara tersebut yang bermula jam 9 malam di Pusat Dakwah Abim.