Sedia kertas putih 'pentadbiran'
SEBUAH PANEL DIWUJUD


KOTA BHARU, 18 (Hrkh) - Sebuah panel bagi menyiapkan kertas putih mengenai tindakan sesetengah pihak yang melanggarkan peraturan kerajaan negeri sudah diwujudkan. Panel berkenaan dianggotai pengawai-pegawai dari Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan berkata, panel berkenaan sedang mengumpul maklumat mengenai perlanggaran yang berlaku di kalangan pihak tertentu sebelum ini.

"Panel terbabit sedang menjalankan kajian mengenai perkara tersebut sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini.

Sebelum ini, pensyarah kuliah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan kerajaan negeri menyediakan kertas putih mengenai masalah yang berlaku di Kelantan berkaitan pentadbiran. Beliau mencadangkan kertas putih itu dibentang di Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memperincikan segala masalah yang berlaku.

"Jika kertas itu tidak disediakan mungkin masalah seperti ini akan berulang lagi, dengan kata lain kertas tersebut membantu generasi akan datang bagi mengelakkan mereka dari masalah yang dihadapi sekarang," katanya pada program wacana anjuran PKS di sini, Mac lalu.

Takiyuddin berkata, kertas putih itu adalah justifikasi terhadap usaha kerajaan negeri bagi melakukan pindaan terhadap undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, tidak lama lagi. Pindaan yang akan dilakukan itu bagi menyelaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dengan perlembagaan Kelantan membabitkan Perkara 15 (1) dan Perkara 39 (2).

Perkara 15 (1) berkaitan rang undang-undang yang diluluskan oleh Dun akan menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari, biarpun tidak diperkenankan sultan. Perkara 39 (2) berkaitan takrif 'nasihat' sultan menjalankan fungsi di bawah Perlembagaan perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan.

"Kertas putih yang sedang disiapkan sekarang jika difikirkan perlu akan dibentang pada persidangan Dun pada masa akan datang," tambah Takiyuddin.

Bagaimanapun sebelum  dibawa ke persidangan Dewan, kertas putih tersebut terlebih dahulu perlu diangkat ke mesyuarat  Exco untuk mendapatkan kelulusan.

Sementara itu, pelbagai pihak di negeri ini mengalu-alukan usaha kerajaan negeri menyediakan kertas putih mengenai pentadbiran kerajaan negeri.
Kata mereka, kertas putih tersebut akan memperlihatkan secara terperinci masalah yang berlaku sebelum ini sehingga mengganggu kelancaran jentera pentadbiran kerajaan.



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan