Tunaikan dulu hak majoriti rakyat Kelantan, Terengganu

BACHOK, 18 April (Hrkh) - Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Buniyamin Yaacob meminta Perdana Menteri membuktikan kenyataannya untuk membela golongan majoriti dengan terlebih dulu menunaikan hak rakyat Kelantan dan Terengganu.

Katanya, jika benar Dr Mahathir beria-ia ingin membela golongan majoriti, beliau perlu membuktikannya di Kelantan dan Terengganu memandangkan kerajaan negeri berkenaan dipilih majoriti rakyat.

Beliau bagaimanapun melahir rasa hairan atas sikap Perdana Menteri yang mencabul prinsip demokrasi dengan menidakkan kehendak rakyat yang memilih parti pembangkang. Menurutnya, Presiden Umno itu tidak perlu merasa bimbang apabila rakyat memilih Barisan Alterbatif kerana terbukti negeri-negeri yang dikuasai pembangkang tidak berlaku huru hara sebagaimana negeri di bawah Barisan Nasional.

"Apabila pemimpin reformasi ditangkap pihak polis, Dr Mahathir mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan ingin menjaga majoriti rakyat. "Kalau betul dia seorang pemimpin yang menghormati kehendak majoriti kenapa dia mendera rakyat Kelantan selama 11 tahun lamanya, sedangkan kerajaan di Kelantan dipilih majoriti rakyat.

"Begitu juga secara terang-terang, beliau bukan saja melanggar demokrasi tapi merompak hak rakyat di Terengganu apabila bertindak menarik royalti minyak di Terengganu," katanya ketika berceramah di Kampung Beris Lalang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yang Dipertua PAS kawasan Bachok, Haji Omar Mohamed, Anggota Dewan Undangan Negeri Jelawat, Haji Shaary Awang dan Ketua Pemuda Bachok, Ustaz Nasir Soh.

Pada 11 April lalu polis telah menahan tujuh pemimpin BA termasuk Naib Presiden KeADILan, Tian Chua dan Ketua Pemuda parti itu, Ezzam Mohd Noor di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan merancang demonstrasi jalanan bagi menjatuhkan kerajaan.

Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir yang mempertahankan tindakan polis menahan pemimpin pembangkang itu berkata, tindakan itu demi menjaga majoriti rakyat yang tidak terlibat dengan demonstrasi.

Sehubungan itu Ustaz Buniyamin kerajaan pusat supaya membubarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang beroperasi di Kelantan dan Terengganu bagi merealisasikan kehendak Perdana Menteri.

Ustaz Buniyamin yang juga Anggota Perhubungan PAS Negeri turut melahir kekesalan atas sikap pemimpin Umno yang tidak mematuhi amalan demokrasi di negara ini apabila menyekat kebebasan rakyat khususnya penyokong BA untuk bersuara.


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan