Kelantan pelopori industri wau
Haji Husdaini Mamat

PENGKALAN CHEPA,  - Kelantan akan menjadi pelopor dan perintis bagi memajukan industri wau di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, Haji Anuar Tan Abdullah.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah yang komprehensif dan strategi perlu dirancang bermula dari sekarang untuk mencapai matlamat tersebut.  "Dalam hal ini Majlis Pelayang Kelantan sudah tentu akan memainkan peranan lebih aktif dan praktikal dalam membangun industri wau.
"Tumpuan bukan semata-mata kepada mengurus pertandingan tetapi lebih penting ialah memberi dorongan dan galakan kepada semua peringkat masyarakat terutama di kalangan remaja dan pelajar menceburi bidang tersebut," katanya ketika merasmikan penutup Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2001 di Perdana Resort, baru-baru ini.

Menurutnya, permainan wau diharap dikekal dan diperkembangkan lagi dengan disusuli usaha-usaha meningkatkan industri tersebut.  Kata beliau, dengan tertubuhnya Majlis Pelayang Malaysia dan Majlis Pelayang Kelantan, ia diharap dapat  membantu mengembangkan industri wau terutamanya berkaitan aspek pengurusan dan pertandingan.

"Tahun dengan kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Pelayang Malaysia dan Pusat Penerangan Pelancongan akan menganjurkan kursus pengurusan dan pertandingan wau. "Kursus tersebut bertujuan melatih kader-kader baru dalam pengurusan pertandingan wau, di mana sebelum ini hanya dipelopori orang lama," katanya.

Pertandingan wau peringkat antarabangsa itu diadakan selama tiga hari berakhir 15 Julai lalu.
Seramai 200 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Lokasi pertandingan kali ini diubah ke Pantai Cahaya Bulan bagi menarik lebih ramai lagi orang ramai menyaksikan pertandingan tersebut. Sebelum ini, Pantai Sri Tujuh di Tumpat menjadi lokasi yang sudah sebati dengan pertandingan itu sejak sekian lama.