20 tahun di bawah Mahathir Umno tambah kerdil 
Mazlan Jusoh

KOTA BHARU, 18 Julai - Umno sekarang disifatkan sudah terlalu kerdil apabila terpaksa melakukan kaedah kurang bermoral termasuk menghalang ceramah Barisan Alternatif (BA) dan memaki hamun pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif (BA).

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, apa yang berlaku sekarang sudah menggambarkan Umno merasakan diri mereka semakin kerdil.  Katanya, penangkapan pemimpin PAS, KeADILan dan pelajar kini menjadi taktik terakhir Umno untuk mengekalkan kuasanya menjelang pilihan raya umum ke-11 nanti. "Sekiranya mereka tidak merasakan diri sudah kerdil, tindakan kekerasan yang dilakukan sekarang tentunya tidak diambil kerana banyak lagi pendekatan lain boleh digunakan," katanya di sini.

Malam tadi, Harakahdaily melaporkan anggota parlimen Kuala Kedah, Haji Mohamad Sabu, isterinya, Normah Alwi, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakub dan seorang lagi pemimpin PAS ditahan ketika menghadiri ceramah di Jelebu. Polis dikatakan mengepung dari awal tempat ceramah tersebut diadakan.

Sebelum ini, pihak berkuasa menahan dua pelajar di bawah ISA termasuk pemimpin persatuan pelajar Universiti Malaya. Manakala empat pemimpin KeADILan ditahan di Kem Kamunting selama dua tahun di atas tuduhan kononnya mahu menjatuhkan kerajaan menggunakan kekerasan.

Drs Zainuddin yang juga Adun Limbongan berkata, perkembangan yang berlaku sekarang menggambaran pencapaian 20 tahun Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sebagai terburuk sekali. Sedangkan akhbar hari ini melaporkan Malaysia mengekalkan kestabilan terbaik semalam apabila genap 20 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

"Dakwaan seperti itu hanya keluar dari seorang pemimpin yang perasan dirinya masih mendapat sokongan, sedangkan hakikatnya tidak lebih sebagai satu sandiwara semata-mata.
"Sekiranya Umno tidak merasakan dirinya sudah benar-benar kerdil mengapa mereka menggunakan taktik menangkap dan menahan pemimpin pembangkang," kata Drs Zainuddin.

Beliau juga berkata, taktik sumpah seranah digunakan secara meluas oleh Umno sekarang di setiap perhimpunan yang membabitkan pemimpin dan penyokong parti itu. Katanya, perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra Jun lalu dan perhimpunan membantah pindaan Perlembagaan Kelantan di Kota Bharu awal Julai lalu membuktikan keadaan itu.

Pada perhimpunan di padang Sekolah Kebangsaan Padang Garong malam 2 Julai 2001, Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato' Paduka Ibrahim Ali menyumpah seranah pemimpin PAS termasuk menyebut perkataan 'babi'. Ibrahim juga dengan nada keras menyebut kakitangan  Dakwah Halaqat bunyinya macam kera. Ucapan Ibrahim itu yang penuh dengan maki hamun itu boleh dilihat melalui video cakera padat yang dijual di merata tempat di sini.

Drs Zainuddin berkata, Umno kini seperti budak kecil yang tidak mampu berdepan abangnya iaitu pembangkang dengan kaedah diplomasi, sehingga terpaksa menggunakan pendekatan kekerasan.
"Umno tidak lebih seumpama budak kecil yang takut untuk melawan abangnya, kecuali menghambur kata-kata kesat dan sumpah seranah bagi melepas geram," ujarnya