Kelantan cadang beri cuti bersalin lebih awal

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bercadang memberi cuti bersalin lebih awal kepada kakitangan wanita, iaitu sebelum tarikh melahirkan anak seperti yang dijangka pihak doktor. Mereka akan menikmati cuti seminggu sebelum tarikh jangkaan bersalin.

Ini bermakna cuti bersalin bagi kakitangan wanita kerajaan negeri akan bermula lebih awal daripada jumlah dua bulan diperuntukan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, cadangan itu perlu perlu diberi perhatian serius bagi menjaga kepentingan ibu yang bakal bersalin. "Ini kerana bakal ibu yang mengandung berhadapan dengan pelbagai risiko seperti bebanan fizikal dan mental.

"Jadi, kita berharap dengan cuti seminggu lebih awal dari tarikh bersalin dapat merehatkan mereka bagi menghadapi keadaan tersebut," ujarnya pada majlis seminar draf Dasar Wanita Negeri Kelantan, di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, di sini baru-baru ini.

Sebelum ini kerajaan Kelantan mendahului negeri-negeri lain dengan melaksanakan cuti bersalin dua bulan kepada kakitangannya.
Manakala cadangan baru pula memberi cuti seminggu lebih awal berbanding kaedah yang dipraktik sebelum ini.

Sehubungan itu, Ustaz Abdullah meminta pihak tertentu menghentikan tuduhan terhadap kerajaan negeri, kononnya tidak mempedulikan golongan wanita.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menghalang wanita bekerja, bahkan mereka diberi peluang sama rata seperti kaum muslimin.
"Sedangkan kompleks Kota Darulnaim sendiri turut dipenuhi kakitangan wanita.

"Untuk itu, saya meminta pihak berkenaan supaya menghentikan fitnah dan kerja-kerja kotor tu... ini kerana perkara tersebut sering terpalit dengan dosa besar akibat fintah yang tidak benar," ujarnya.

Hampir 200 peserta yang terdiri dari pemimpin wanita, badan bukan kerajaan dan ketua-ketua jabatan hadir pada program berkenaan.